`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, December 11, 2022

Pelik Hamzah ketua pembangkang bila PAS ada kerusi terbesar, kata penganalisis

 

Penganalisis politik berharap Hamzah Zainudin sebagai ketua pembangkang mampu memainkan peranan sebagai semak dan imbang. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpendapat Ahli Parlimen dari PAS sepatutnya menjadi ketua pembangkang di Dewan Rakyat kerana mempunyai kerusi terbanyak.

Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia (UPM) berkata, walaupun Ahli Parlimen Larut Hamzah Zainudin dilihat berkemampuan kerana berpengalaman namun pemilihannya diakui pelik dan di luar kelaziman.

“Ini kerana selalunya parti paling banyak kerusi sepatutnya menjadi ketua pembangkang.

“Beliau (Hamzah) mungkin ada kemampuan dan berpengalaman di Parlimen tetapi jawatan ketua pembangkang perlu diisi wakil PAS (kerana mempunyai kerusi banyak),” katanya kepada FMT.

Pada PRU15 lalu, Perikatan Nasional (PN) menang di 74 Parlimen dengan PAS menyumbang jumlah terbanyak dengan 43 kerusi manakala 31 Bersatu.

Mesyuarat Jawatankuasa PN bersetuju melantik Hamzah yang juga setiausaha agung Bersatu sebagai ketua pembangkang di Dewan Rakyat.

Pengerusi PN Muhyiddin Yassin pula sebagai ketua Ahli Parlimen PN dibantu Presiden PAS Abdul Hadi Awang manakala Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan pula dilantik ketua whip PN.

Sementara itu, Noor Nirwandy Mat Noordin daripada Universiti Teknologi Mara (UiTM) berkata, pelantikan Hamzah sebagai ketua pembangkang diharap menjadi semak imbang yang baik dalam proses demokrasi negara.

Beliau berharap Hamzah dapat mengutamakan kepentingan rakyat berbanding isu peribadi kerana masyarakat sudah muak dengan permainan politik berlarutan sejak PRU14 hingga kini.

“Pelantikan Hamzah diharap membawa perubahan baru dalam perbincangan dan debat secara fakta bukan emosi,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.