PASIR MAS: Dua pesakit strok dari Kampung Kubang Kual di sini, terpaksa melupakan kesakitan semata-mata untuk meredah banjir demi keselamatan diri apabila paras air mula naik di kawasan mereka.
Suhaimi Jaafar, 64, berkata dia menggagahkan diri meredah banjir sejauh 100m dari rumahnya untuk sampai ke bahu jalan raya, walaupun letih dan kepenatan.
“Hujan lebat berterusan sejak tiga hari lepas menyebabkan air mula naik secara mendadak awal pagi tadi, jadi saya terus minta bantuan anak dan cucu untuk pimpin saya redah banjir yang ketika itu masih di paras lutut.
“Bila redah banjir dalam keadaan kita kena strok, badan kita akan rasa menggigil sebab sejuk berada dalam air. Tapi, apa boleh buat, mahu tidak mahu, saya dan anak-anak perlu segera keluar dari rumah untuk selamatkan diri, sebelum berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS),” katanya ketika ditemui di Kampung Kubang Kual.
Ibrahim Mat Ya, 72, pula berkata tahun ini saja, tiga kali dia terpaksa menetap di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Kual akibat banjir.
“Selepas diserang angin ahmar sejak 13 tahun lepas, saya hanya mampu berjalan menggunakan tongkat dan apabila hendak redah banjir, ia menambah lagi kesukaran untuk saya bergerak.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.