`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 11, 2022

Saya tangkis serangan PN di luar waktu kerja, tegas Rafizi

 

Menteri ekonomi yang juga timbalan presiden PKR, Rafizi Ramli, menyatakan komitmen melakukan perubahan budaya politik tanpa penglibatan ‘satu sen pun wang dan masa kerajaan’.

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli menegaskan akan menggerakkan usaha menangkis sentimen kebencian dibawa Perikatan Nasional (PN) mulai minggu depan, di luar waktu kerjanya sebagai menteri ekonomi.

Bagaimanapun, Rafizi berkata kenyataan mengenai dasar kementerian, kedudukan ekonomi dan perkara berkaitan akan dibuat melalui saluran rasmi sebagai menteri.

“Masa waktu yang dibayar gaji oleh rakyat, saya akan tumpu kerja sebagai menteri.

“Di luar waktu kerja, saya akan berdepan dengan PN/PAS menjawab isu yang mereka mainkan dan juga akan selaraskan supaya aktivis dan pimpinan kerajaan perpaduan turut sama memantau prestasi mereka sebagai pembangkang.

“Mereka ingat jadi pembangkang ini hanya menimbulkan sentimen kebencian. Mereka lupa bahawa menjadi pembangkang juga perlukan pengetahuan mengenai dasar, memantau pelaksanaan, membawa suara rakyat dengan masalah seharian mereka,” katanya di Facebook.

Beliau juga menyatakan komitmennya melaraskan dasar dan pelaksanaan projek berimpak paling besar kepada rakyat sebagai persediaan berdepan cabaran ekonomi tahun depan.

Dalam pada itu, Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, berkata beliau akan mula menggerakkan kempen bagi PRN di enam negeri bermula Januari.

Enam negeri itu adalah Kelantan, Terengganu, Kedah, Negeri Sembilan, Selangor dan Pulau Pinang.

“Kita akan berkempen seperti sebelum membentuk kerajaan atas platform PKR dan @ayuhMYmovement tanpa penglibatan satu sen duit dan masa kerajaan. Masa yang dibayar gaji oleh rakyat adalah tanggungjawab negara dan tidak boleh digunakan untuk kerja-kerja politik,” tegasnya.

Rafizi juga berikrar tidak akan mencampur adukkan tanggungjawab antara kementerian dan sebagai timbalan presiden PKR.

“Masa kami sendiri (seperti waktu malam, hujung minggu dan lain-lain) adalah masa untuk berkempen supaya tidak ada campur aduk di antara tanggungjawab sebagai menteri dan tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti.

“Masa untuk kita zahirkan perubahan budaya politik,” katanya yang mengkritik kerajaan PN hanya lantang selepas menjadi pembangkang. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.