`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Saturday, December 17, 2022

Tanah runtuh: Operasi menyelamat tumpu dua sektor, kata bomba

 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata pihaknya percaya mangsa masih terperangkap di dua sektor Farmview (sektor B) dan Riverside (sektor C). (Gambar AP)

PETALING JAYA: Hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) 12 lagi mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan River Hilltop, Farmview and River Side berdekatan Father’s Organic Farm, Jalan Genting-Batang Kali tertumpu kepada dua daripada tiga sektor.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Norazam Khamis berkata, pencarian itu melibatkan sektor B (kem Farmview) dan sektor C (berhampiran kem Riverside).

Katanya, tumpuan diberikan ke arah dua sektor ini kerana percaya, mangsa terperangkap iaitu di Farmview (sektor B) dan Riverside (sektor C).

“Ia berdasarkan kepada lokasi mangsa terakhir ditemukan antara dua lokasi tersebut semalam,” katanya menurut Bernama.

“Operasi SAR juga melibatkan penggunaan jentera berat atau jengkaut bagi mengalihkan tanah dan pokok besar yang tumbang bersama aliran tanah,”

Bagaimanapun, beliau berkata penggunaan empat jengkaut itu bergantung kepada keadaan cuaca dan tanah dalam operasi hari ini.

Norazam berkata, operasi hari ini melibatkan lebih 150 anggota penyelamat daripada pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM) serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).

“Cabaran utama ialah masih terdapat aliran air dalam tanah serta kedudukan cerun 45 darjah serta ketebalan runtuhan tanah mencecah kedalaman 20 hingga 30 kaki (6.1 hingga 9.1 meter).

“Tiada pergerakan tanah setakat ini dilaporkan, namun keadaan tanah masih terdapat aliran air dan tanah lembut dikhuatiri boleh berlaku pergerakan dan gelinciran tanah yang boleh mengancam keselamatan pasukan penyelamat,” katanya.

Insiden sekitar 2.42 pagi Jumaat, 12 orang dilaporkan masih hilang manakala 21 disahkan terkorban daripada keseluruhan 94 mangsa dalam kejadian itu. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.