
PETALING JAYA: Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata dua daripada tiga remaja yang ditemui dalam keadaan kaki berantai di Perlis, masih bersekolah.
Berdasarkan rekod kementeriannya, beliau berkata, dua beradik itu bersekolah di sekitar Perlis dan tiada rekod menunjukkan mereka ponteng sekolah.
“Di pihak kementerian, kami akan memastikan keperluan dan kesejahteraan mereka dijaga dengan baik,” katanya menurut Harian Metro.
Terdahulu, Fadhlina dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan menunggu laporan lengkap berhubung tiga beradik di sebuah kampung di Perlis yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu mereka.
Dalam kejadian malam kelmarin, tiga beradik berusia 13 hingga 16 tahun ditemui orang awam dalam keadaan kaki berantai di tepi jalan di kampung terbabit.
Dua daripada mangsa itu dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.
Hasil semakan polis mendapati dua mangsa itu memiliki kad orang kurang upaya (OKU), iaitu masalah pendengaran dan pembelajaran.
Sementara itu, Fadhlina berkata, pihaknya hanya akan bertindak selepas siasatan kes itu yang membabitkan beberapa kementerian selesai.
“Ia kini menjadi kes berbeza. Kami akan membiarkan proses sewajarnya berjalan dengan lancar dahulu.
“Keutamaan kita ialah pendidikan mereka selepas ini, memandangkan mereka kini ditempatkan di institusi jagaan,” katanya. - FMT

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.