`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, March 10, 2023

Bantah konsert Blackpink, PU Syed terima ugutan bunuh

 

PU Syed berkata, seorang individu mengugut untuk menembaknya dan mendoakan anak-anaknya dijangkiti virus. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Syed Mohd Bakri Syed Ishak yang lebih dikenali sebagai PU Syed mendakwa menerima ugutan bunuh kerana tidak bersetuju dengan penganjuran konsert kumpulan K-Pop Blackpink minggu lalu.

Beliau berkata, ugutan itu diterima melalui mesej langsung (DM) di akaun media sosial peribadinya, di mana seorang individu mengugut akan menembaknya dan mendoakan anak-anaknya dijangkiti virus.

“Saya tak buat laporan polis sebab saya percaya itu akaun palsu. Ini kali pertama dapat ugutan sebegini. Sebelum ini orang kecam dan hentam itu dah biasalah.

“Dia DM saya kemudian dipadam mesej itu, tetapi saya sempat ambil tangkap layar. Saya syak ini kerja budak-budak yang taksub sangat dan terlalu mengikut emosi,” katanya menurut Harian Metro.

Beliau berkata, kebanyakan cacian itu dilemparkan golongan muda yang tidak dapat menerima teguran ikhlasnya.

“Bila kita dah berada di atas jalan (dakwah) ini, kita tak akan berundurlah. Kena tegur apa yang patut ditegur.

“Banyak budak-budak yang terlalu ikut hati dan perasaan, kita kena nasihatlah. Terutama orang tua mereka kenalah nasihat anak-anak ini, kalau tidak, boleh jadi masalah kepada masyarakat,” katanya yang berikrar tidak akan berhenti berdakwah, walaupun menerima ugutan dan kecaman orang ramai. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.