`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, March 22, 2023

G25 puji keputusan buka kantin sekolah ketika Ramadan

 

G25 berkata, keputusan membuka kantin sekolah sepanjang Ramadan diharap menjadi langkah pertama dalam memastikan semua kaum dan agama diberikan pertimbangan sama. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kumpulan bekas penjawat awam kanan, G25 memuji keputusan membuka kantin sekolah sepanjang Ramadan bagi memenuhi keperluan pelajar bukan Islam.

“Perubahan ini antara langkah yang ditunggu-tunggu dan kami berharap ini menjadi langkah pertama yang akan memastikan semua kaum dan agama berbeza diberi pertimbangan sama ketika memutuskan dasar sekolah,” katanya.

G25 mengulas kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengarahkan kantin sekolah dibuka sepanjang Ramadan, walaupun sekolah mempunyai kurang 10% pelajar bukan Islam.

Fadhlina berkata: “Inilah kerajaan inklusif…kedua-dua pihak saling menghormati, yang berpuasa kena santuni yang tidak berpuasa, yang tidak berpuasa perlu belajar menghormati mereka yang berpuasa.”

Sementara itu, G25 menggesa Putrajaya menyemak semula etika pemakaian di semua jabatan kerajaan untuk menghalang “little Napoleon” yang menghalau pelawat.

“Kerajaan perlu menyemak semula arahan berhubung etika pemakaian kerana ia terlalu subjektif sehingga pengawal di jabatan kerajaan menjadi ‘little Napoleon’, terutama jika dia terlalu konservatif,” katanya.

G25 juga menyambut baik arahan Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa tidak mahu hospital menolak pesakit kerana pemakaian mereka.

“Malaysia menghadapi risiko dalam usaha menangani sensitiviti tempatan terhadap pemakaian wanita, kita mungkin keterlaluan sehingga menyebabkan rakyat sendiri bimbang dengan masa depan kita sebagai negara Islam progresif,” kata kumpulan itu.

Katanya, syarikat hiburan juga menjadi mangsa konservatisme semakin meningkat dan kumpulan muzik dari Barat kini enggan datang ke Kuala Lumpur.

“Kami percaya dalam menjadikan Malaysia sebahagian komuniti antarabangsa, kita mesti belajar untuk hidup dengan budaya dan nilai berbeza di seluruh dunia, selagi ia tidak mengancam undang-undang serta ketenteraman dan keselamatan negara.”

Katanya, pemahaman terhadap perbezaan budaya, agama dan cara pemakaian peribadi secara tidak langsung boleh menarik pelabur dan pelancong asing. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.