KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu membuat penelitian menyeluruh berhubung perjawatan guru Kafa dari tetap kepada berpencen sebelum ia dilaksanakan kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar.
“Ini termasuklah penyeragaman pengoperasian Kafa itu sendiri yang berbeza antara negeri,” katanya ketika sesi penggulungan jawapan Belanjawan 2023 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat.
Na’im menjawab soalan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai), Sabri Azit (PN-Jerai) dan Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah) yang bertanya elaun guru Kafa sebanyak RM1,100 yang tidak mencapai had gaji minimum.
Mengulas lanjut, Na’im berkata kerajaan dari semasa ke semasa sentiasa mengkaji kedudukan elaun guru Kafa sejak ia diperkenalkan pada 1990.
Katanya, kerajaan juga sudah lapan kali meluluskan kenaikan elaun sehingga mencapai RM1,100 ketika ini.
“Ini tidak termasuk caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan Perkeso (Pertubuhan Keselamatan Sosial) dari 2011,” katanya.
Sementara itu, sesi penggulungan hangat apabila Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) mendakwa terdapat guru Kafa berpolitik di sekolah dan mempengaruhi anak murid ketika pilihan raya lalu.
Bagaimanapun, ia dibantah Ahli Parlimen pembangkang yang mendakwa ia fitnah terhadap guru Kafa. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.