PETALING JAYA: Tokoh terkemuka dalam pendidikan tinggi dan industri akan dilantik ke Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional, menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
Timbalan Menteri Yusof Apdal berkata tokoh-tokoh tersebut diharapkan dapat menyumbang idea bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi negara.
“Keahlian Jawatankuasa Menyemak dan Mengkaji Semula Dasar Pendidikan Tinggi Nasional akan melibatkan tokoh terkemuka dalam pendidikan tinggi dan industri, yang boleh menyumbang idea bagi meningkatkan kualiti pendidikan tinggi.
“Jawatankuasa ini akan diperuntukkan masa tiga bulan untuk mengemukakan dapatan mereka, dengan sebahagian besarnya mestilah bersifat saranan penambahbaikan yang diperlukan,” katanya ketika menjawab soalan Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) di Dewan Rakyat.
Saifuddin meminta KPT menyatakan langkah akan dilaksanakan untuk merealisasikan reformasi pendidikan dalam kalangan institut pengajian tinggi.
Yusof berkata, matlamat penubuhan jawatankuasa itu juga adalah mengkaji kelemahan dan kekuatan dasar pendidikan tinggi sedia ada.
“Dasar tidak relevan akan dihentikan, dasar lemah akan ditambah baik, (dan) pada masa sama, dasar baharu perlu dilaksanakan berdasarkan cabaran semasa pendidikan tinggi,” katanya.
Sebelum ini, KPT mengumumkan akan menubuhkan jawatankuasa tersebut sebagai langkah melaksanakan pelarasan dasar pendidikan tinggi negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin berkata, beberapa pelarasan dasar harus dilaksanakan kerana aspirasi nasional menuntut perubahan dalam cara bekerja, berfikir, dan bertindak. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.