`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, March 13, 2023

KPT teliti pinda Seksyen 15 Auku benar mahasiswa berpolitik

 

Terdahulu dilaporkan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin mengesahkan tiada cadangan memansuhkan Auku, namun kementerian akan mempertimbangkan untuk membuat pindaan lanjut terhadap akta itu. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti membuat pindaan terhadap Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku) 1971 bagi memperkasakan gerakan mahasiswa di negara ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Mohd Yusof Apdal berkata, pindaan itu antara lainnya memberikan kebebasan kepada mahasiswa untuk berpolitik, termasuk menjadi ahli dan calon mana-mana parti politik.

“Di samping itu juga, mereka (mahasiswa) diberikan tanggungjawab penuh berhubung kait gerakan mahasiswa di IPTA (institusi pengajian tinggi awam) dan IPTS (institusi pengajian tinggi swasta) selain urusan kewangan,” katanya, lapor Bernama.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Chow Yu Hui (PH-Raub) berkenaan autonomi mahasiswa pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu dilaporkan Menteri Pendidikan Tinggi Khaled Nordin memberi jaminan kerajaan akan menangani kelemahan dalam Auku.

Khaled, yang sebelum ini mengesahkan tiada cadangan memansuhkan Auku walaupun digesa pelbagai pihak, berkata kementerian akan mempertimbangkan untuk membuat pindaan lanjut terhadap akta itu.

“Kementerian sedang mempertimbangkan pindaan kepada akta tersebut, termasuk pindaan yang membolehkan kumpulan pelajar menguruskan akaun mereka sendiri,” katanya di Dewan Rakyat awal bulan ini. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.