`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, June 16, 2023

Al-kisah perjuangan PAS

 

PAS pernah meletak “Negara Islam” sebagai matlamat perjuangannya. Menyedari konsep “Negara Islam” yang dibawanya sukar direalisasikan dengan mengambil kira rakyat berbilang kaum dan agama di negara ini, PAS menampilkan pula “Negara Berkebajikan”. Ini agak lembut dan dilihat merangkumi kepentingan semua lapisan masyarakat.

Mungkin kerana keadaan tertentu PAS membuat pertukaran lagi. Kali ini “Islam Untuk Semua”. Tidak jauh beza dengan “Negara Berkebajikan” cuma menekankan aspek Islam menjaga kepentingan setiap rakyat tidak kira apa agama dan bangsa. Bagi saya ini konsep terbaik yang PAS pernah kemukakan.

Bagaimanapun konsep itu tidak menjadi. Sejak kebelakangan ini PAS seolah berpatah balik ke konsep “Negara Islam” tetapi dengan agak ekstrem. Parti pimpinan Hadi Awang dilihat semakin mengambil sikap hard line.

Dilihat juga sikap tidak toleran terhadap orang bukan Islam dan juga orang Islam yang tidak sehaluan dengan pendirian mereka, khususnya mengenai soal agama serta intepretasi tuntutan dan hukum agama.

Malah kenyataan Hadi sendiri terutama akhir-akhir ini sering mengguris perasaan golongan non-Muslim dan juga Muslim yang PAS tentang. Mereka dituduh punca hampir setiap masalah dan kepincangan di negara ini kerana tidak ikut “cara Islam”, seperti PAS.

Dalam pada itu, PAS masih mengatakan akan berlaku adil kepada masyarakat bukan Muslim. Untuk meredakan keadaan barangkali, kenyataan PAS berkaitan non-Muslim diselang-seli serangan terhadap DAP – kerana ‘menyesatkan’ masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam. Ertinya yang salah DAP bukan golongan bukan Islam itu sendiri, tetapi masih ‘bersalah’.

Mungkin PAS menyerahkan kepada Bersatu, rakan dalam Perikatan Nasional untuk menawan hati pengundi bukan Islam apabila pilihan raya diadakan kelak. Namun Bersatu dilihat sebagai parti ultra Melayu yang turut dibimbangi orang bukan Melayu. Hampir semua perkara dijadikan isu politik seakan menuduh kerajaan perpaduan tidak boleh diharapkan untuk menjaga Islam dan orang Melayu. Ini pada perkiraan Bersatu dan PAS boleh mengaut keuntungan politik (baca: undi). Dalam lain perkataan ini satu bentuk populis keagamaan. Sedikit sebanyak mereka berjaya.

Sejak dulu PAS dianggap beberapa pihak termasuk Dr Mahathir Mohamad (semasa tidak berkawan) menggunakan agama untuk kepentingan politik.Tunggang agama, kata mereka, untuk popular sekaligus raih undi. Religious populism dilihat sedang memuncak dalam arena politik tanah air.

Ramai juga yang mengingatkan kita bahawa PAS dulu menyalahkan kerajaan pusat yang dikuasai BN dan ditunjangi Umno apabila tidak melaksanakan hukum hudud di negeri yang PAS perintah. Hudud umum tahu antara agenda paling besar dibawa PAS dalam cita-cita mahu nenegakkan daulah Islam di negara ini, dan agenda hudud menyaksikan PAS mendapat sokongan.

Alasan PAS bahawa BN ‘tidak izin’ dan ‘menghalang’ pelaksanaan hudud dipercayai ramai dalam kalangan orang Melayu. Namun ada pihak mengatakan PAS tidak serius kerana tahu hukum syariah sukar dilaksanakan di negara seperti Malaysia. Ia sekadar “play to the Malay gallery” menggunakan “race and religion card”, dan menyalahkan BN amat menyenangkan.

Lihat apa sudah jadi dengan RUU 355, kata pengkritik PAS. Rang Undang-undang 355 secara ringkasnya bertujuan memperkasakan mahkamah syariah, yakni meningkatkan bidang kuasa penghukuman bagi kesalahan jenayah syariah.

Pada 5 April 2017, Hadi selaku Ahli Parlimen Marang mengemukakan usul persendirian di Dewan Rakyat untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah atau Akta 355.

Tercetus polemik antara PAS dengan BN selaku kerajaan pusat waktu itu. Tiga belas hari selepas Hadi mengemukan usul berkenaan, Himpunan Raksasa RUU355 diadakan oleh PAS di Padang Merbok, Kuala Lumpur.

Setahun kemudian pada 18 Oktober 2018, PAS menangguh pembentangan RUU itu selepas dibentangkan kali ketiga pada persidangan Parlimen April 2017. Hadi diberitakan berkata ia ditangguhkan kerana usul bagi membentang RUU355 perlu dicadang serta dikemukakan oleh menteri untuk dibahaskan.

Ads by Kiosked

Beliau dipetik berkata: “Walaupun pembentangan RUU355 tidak mudah PAS komited akan terus memperjuangkan akta berkenaan. Tetapi kita mengambil keputusan untuk tangguh sementara dan apabila tiba masanya kita akan berhujah.”

Saya tidak bercadang menulis lanjut isu ini. Bak nyanyian artis 1980-an, Malek Ridzuan, “cukup sampai di sini sayang.”

Teringat juga soal penambahan atau lebih tepat meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan judi waktu PAS duduk dalam kerajaan pimpinan Muhyiddin Yassin. PAS dianggap berpeluk tubuh malah musuhnya menuduh PAS merestui jumlah cabutan diadakan dengan lebih kerap meskipun sekian lama mendakwa ia memerangi judi.

Yang jelas bergantung harap kepada elemen populis keagamaan untuk memancing undi ada hadnya. Kata Khairy Jamaluddin semasa ditemubual rancangan Insight siaran rangkaian televisyen Singapura Channel News Asia tempoh hari, pengaruh politik PAS juga ada hadnya walaupun parti itu “is doing very well now”.

“PAS tahu jika ia mahu diterima oleh masyarakat Malaysia ia mesti moderate dalam pandangan mereka. Saya boleh kata demikian kerana saya duduk bersama PAS dalam kerajaan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob. Semasa perbincangan Jemaah Menteri atau waktu menyediakan kertas Kabinet, tidak pernah sekali pun PAS mendesak untuk membawa perundangan syariah tambahan walaupun undang-undang syariah mereka perjuang begitu lama sekali.”

Terpulanglah masing-masing untuk buat intepretasi sendiri. - FMT

Ads by Kiosked - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.