`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, June 16, 2023

Aplikasi kumpul data, kesan ‘hotspot’ gangguan seksual

 

Jika seseorang merenung mangsa dari atas ke bawah dan membuat seseorang individu tidak selesa, ia  juga sudah dikira sebagai gangguan seksual. (Gambar fail)

KUALA LUMPUR: Badan bukan kerajaan (NGO) Sisterhood Alliance memperkenalkan aplikasi Safecity yang dibangunkan di India bertujuan menjadi platform kepada mangsa gangguan seksual “bersuara” tanpa gusar.

Presidennya, Radziah Razi, berkata menerusi aplikasi itu masyarakat dapat berkongsi pengalaman sama ada menjadi sasaran atau menyaksikan kejadian berkaitan gangguan atau serangan seksual serta menanda (pin point) lokasi kejadian.

Katanya, data itu akan digunakan sebagai kajian untuk mengenal pasti trend gangguan seksual yang dialami mangsa dalam usaha menjadikan kawasan berkenaan lebih selamat pada masa depan.

Ads by Kiosked

“Dengan pin point lokasi kejadian, kami dapat mengenal pasti ‘hotspot’ (lokasi panas) dan mengumpul data berkenaan kejadian dan seterusnya berhubung dengan pihak berkaitan untuk mencari penyelesaian.

“Misalnya jika kita buat aduan di lokasi sama, dan antara punca ialah jalan yang gelap, jadi kita akan berhubung dengan PBT (pihak berkuasa tempatan) untuk menambah lampu jalan,” katanya.

Menyedari sikap ramai mangsa yang enggan membuat laporan kepada pihak berkuasa dek pelbagai faktor termasuk kerenah birokrasi, Radziah berkata aplikasi itu menjadi tempat untuk berkongsi cerita yang sekali gus mengumpul dan menyalur maklumat.

“Terdapat pelbagai jenis gangguan seksual, jika seseorang merenung mangsa dari atas ke bawah dan membuat seseorang individu tidak selesa juga sudah dikira sebagai gangguan seksual.

“Bagi kes seperti itu biasanya orang tak mahu sampai buat laporan, tetapi ia tetap memberi kesan kepada emosi mangsa,” katanya sambil menambah aplikasi itu boleh dimuat turun secara percuma.

Katanya, platform itu juga diharap dapat menjadi tempat perkongsian supaya mangsa tidak rasa keseorangan untuk mengatasi trauma selain mencegah kejadian gangguan seksual dengan mengingatkan masyarakat tanpa mengira jantina untuk sentiasa berwaspada.

Ads by Kiosked

Radziah berkata, pihaknya juga melaksanakan projek kesedaran gangguan seksual antaranya memperkenalkan kegunaan aplikasi itu di projek perumahan rakyat (PPR) Kota Damansara bermula 29 Nov 2021 hingga 14 Mei 2022 bertujuan mengumpulkan sekurang-kurangnya 50 kisah gangguan seksual oleh peserta, meningkatkan kepimpinan dan mengurangkan data gangguan seksual.

Beliau berkata, NGO berkenaan menyasarkan untuk mengumpul 500 kisah tentang situasi itu dalam usaha mendapatkan data bagi membantu masyarakat menangani masalah sosial tersebut menerusi pelbagai program libat urus.

“Sejak diperkenalkan di Malaysia pada 2018, kami hanya dapat mengumpul 150 cerita, jadi kami harap lebih ramai yang akan menyedari kewujudan dan kegunaan aplikasi ini,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.