KUALA LUMPUR: Pertubuhan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim) menggesa kerajaan menggubal akta bagi memantau pelaksanaan sistem klinik maya.
Presiden Perdim Dr Boi Saidi Abdul Razak berkata, penggubalan akta ini bertujuan memastikan pengeluaran preskripsi ubat oleh doktor tidak disalah guna.
“Platform digital hanya sesuai untuk menyemak semula keputusan darah sahaja, belum ada akta lagi seorang doktor itu mengeluarkan preskripsi ubat secara dalam talian.
“Sebagai contoh, tidak munasabah untuk seorang doktor mengeluarkan 100 hingga 1,000 preskripsi ubat sehari menggunakan platform maya,” katanya pada sidang media hari ini.
Boi Saidi berkata, pihaknya khuatir kewujudan klinik maya ini akan mengakibatkan lambakan doktor palsu di negara ini.
“Itu yang kita takutkan. Kalau di negara-negara maju, memang platform klinik maya ini digunakan sepenuhnya, tetapi setiap doktor itu ada kod mereka tersendiri,” katanya.
“Mereka ada kod di mana mereka diberikan kuota tertentu untuk mengeluarkan preskripsi ubat setiap hari. Mungkin seorang doktor boleh mengeluarkan 20 atau 50 preskripsi.
“Kalau tidak ada akta, nanti apa yang akan terjadi ada doktor palsu boleh mengeluarkan hingga 1,000 preskripsi ubat sehari dengan hanya tekan ‘enter’ sahaja menggantikan tandatangan.”
Katanya, perkhidmatan klinik maya juga sesuai bagi mereka yang sudah mempunyai rekod rawatan dengan hospital, bukan pesakit baharu.
“Ini termasuk pesakit yang menunggu semakan keputusan makmal selain (untuk) penjagaan pesakit kronik, seperti kencing manis dan darah tinggi, yang stabil serta mempunyai janji temu untuk pemantauan berterusan.”
Boi Saidi berkata, pihaknya khuatir ada simptom atau komplikasi yang tidak dapat dikesan menerusi platform klinik maya.
“Konsultasi secara maya tidak ideal dalam pengendalian pesakit. Contoh ketara, doktor akan mudah terlepas pandang tanda-tanda fizikal penyakit,” katanya.
Kementerian Kesihatan (KKM) dilapor akan memperluas pelaksanaan sistem klinik maya sebagai usaha mengurangkan kesesakan di klinik dan hospital kerajaan, terutama bagi kes-kes bukan kecemasan. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.