PETALING JAYA: Polis mengesahkan lelaki yang ditemukan mati di lereng bukit berdekatan Taman Jesselton, Georgetown semalam, disyaki terlibat dalam kes samun dan pecah rumah.
Ketua Polis Pulau Pinang, Khaw Kok Chin berkata, mayat lelaki tanpa dokumen pengenalan diri itu dijumpai berada dalam keadaan tertiarap pada 4.40 pagi.
Menurutnya, bedah siasat mendapati kematiannya akibat daripada kecederaan kepala akibat terjatuh dari tempat tinggi.
Katanya, sebuah beg galas turut ditemui di sebelah mayatnya, yang mengandungi beberapa keratan dawai berwarna hijau selain beberapa barangan seperti alat pemotong, pemutar skru dan sarung tangan.
“Peralatan itu disyaki digunakan tujuan pecah rumah selain polis turut menemui sebilah pisau pemotong daging dalam beg berkenaan,” katanya dalam kenyataan malam tadi, menurut Berita Harian.
Kok Chin berkata sebelum penemuan itu, sepasukan polis dari Bahagian D9 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Pulau Pinang bersama Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 1 dan 18 menjalankan Op Rantau Dawai di kawasan berkenaan.
Katanya, dalam operasi 12.30 tengah malam itu, pasukan pemerhati terserempak dengan tiga lelaki mencurigakan dan mengarahkan mereka berhenti namun semuanya melarikan diri.
“Mereka melarikan diri ke arah yang tidak diketahui dalam suasana gelap dan pasukan pemerhati kemudiannya melakukan pencarian.
“Kita tidak menolak kemungkinan suspek bersama dua lagi rakannya yang meloloskan diri itu terbabit dengan jenayah samun dan pecah rumah membabitkan kediaman elit di Taman Jesselton,” katanya.
Katanya, cap jari dan sampel DNA diambil untuk mengesan identiti lelaki itu dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.
“Polis ingin menasihati orang awam agar sentiasa peka dengan keadaan persekitaran dan sentiasa mengambil langkah-langkah keselamatan bagi mencegah daripada menjadi mangsa pecah rumah dan samun,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.