`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, June 5, 2023

Seni: Balik-balik dia saja

 

Sutradara filem terkenal, Uwei Shaari suatu ketika dahulu pernah berkata “kita bukan sahaja memerlukan filem yang baik tetapi juga memerlukan penonton yang cerdik.” Penonton ini bagi saya bukan hanya rakyat biasa sahaja tetapi merangkumi semua pihak termasuklah dari pak menteri sebagai pembuat dasar dan juga pengamal media yang merupakan ejen penyebar maklumat. Bermakna, apresiasi seni ini mesti bermula dari sekolah lagi jika subjek seni di sekolah bukan sekadar main-main.

Penghargaan terhadap seni dan kecintaan kepada budaya harus dipupuk sejak di bangku sekolah bagi melahirkan generasi yang tidak buta seni. Celik terhadap seni dan budaya mampu melahirkan generasi yang mempunyai jati diri. Seperti negara-negara yang menjadikan seni budaya sebagai barang perniagaan, mereka muncul membentuk imej dan identiti tersendiri di mata dunia. Jauh ke depan sungguh mereka jika dibandingkan dengan kita. Iran dan Korea Selatan malah Indonesia disegani melalui filem-filem dan kerja seni mereka.

Kita di sini masih tersangkut dengan sentimental dan enggan keluar bergerak maju ke depan sebab masih sibuk bernostalgia. Tokoh akademik, pengkritik serta pembikin filem tersohor, Anuar Nor Arai, pernah dikecam kerana mengeluarkan kenyataan “muak dengan sanjungan berlebihan terhadap P Ramlee” sehingga kita menidakkan sumbangan seniman-seniman lain. Maksud allahyarham sebenarnya bukanlah kita tidak boleh mengagungkan P Ramlee tetapi jangan sampai kita kesampingkan kehebatan seniman kita yang lain. Mengapa ini berlaku? Kerana pemahaman dalam menghargai seni dalam masyarakat kita sangat cetek.

Di sinilah pentingnya subjek apresiasi seni supaya lahir masyarakat yang mampu menilai kerja seni. Ini tidak, jika ada filem daripada tangan pengkarya lain – peminat mencemik, “huh! Tetap tak boleh lawan P Ramlee.” Bagaimana kita hendak maju kalau kita bersikap begini? Mereka tidak ada pengetahuan dari segi teknikal dan seni pembikinan oleh pengarah-pengarah lain seperti Hussein Haniff, M Amin, Rahim Razali, atau Uwei. Ketika M Nasir naik dengan lagu-lagu ciptaannya dan lagu-lagu nyanyiannya tetap ada yang kata tak akan mampu mengatasi P Ramlee. Apabila zaman semakin berubah, muncul pula beberapa komposer lain, mereka berkata pula, “Huh! Tak boleh lawan M Nasir.”

Barangkali inilah maksud muak oleh Anuar Nor Arai. Kita seperti tidak boleh buat apa. Apabila ada bakat baharu lahir kita bandingkan dengan orang lama. Seperti ketika saya aktif melukis kartun satira politik dahulu, ada yang membandingkan saya dengan seorang kartunis ‘politik melawan’ yang lebih senior. “Kau tak boleh lawan Zunar,” kata mereka. Eh! Eh! Saya berkarya bukan nak lawan sesiapa. Bukan nak jadi hero. Sama juga penggiat seni yang lain baik bidang pengarahan, muzik, nyanyian, atau lakonan. Kita berkarya kerana cintakan bidang yang sudah dikurniakan kepada kita bakatnya. Kita membuka satu lagi jalur karya dengan gaya kita supaya bidang tersebut lebih berkembang dan lebih berwarna. Bukan hendak menandingi sesiapa.

Mereka yang sudah lama terkenal dan ‘lejen’ itu sudah duduk di persada masing-masing. Kita hormat mereka kerana ada di antara mereka itu guru dan mentor kita juga yang tetap kita hormati. Mereka juga tak perlu rasa tergugat kerana kita masing-masing bergerak dengan satu matlamat. Kita harus meraikan. Jika P Ramlee, Hussein Haniff, Rahim Razali dinilai di liga yang betul, dengan ilmu yang cukup kita akan lebih kaya, maju, dan tidak tersangkut dengan “balik-balik dia saja.” Contoh-contoh yang saya apungkan di atas itu hanya satu contoh sahaja dari sudut seni hiburan arus perdana. Bukan kita tak biasa lihat, baik konsert mahupun jadi hero drama atau wayang, kalau muka itu tengah popular balik-balik dia aja.

Dalam berkarya sepatutnya tidak ada pertandingan siapa lebih hebat, siapa nak lawan siapa. Kita nak buat kerja seni. Kita bukan orang politik nak berlawan merebut kedudukan. Bukan Dr Mahathir Mohamad nak kena berganding semula dengan Hadi Awang dan Muhyiddin Yassin untuk menjatuhkan Anwar Ibrahim dan Zahid Hamidi. Itu politik, lain! Politik memang macam itu, balik-balik dia! Balik-balik dia saja. Kita tidak. Tolong jangan samakan! - FMT

Ads by Kiosked

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.