`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, June 29, 2023

Adakah Buya Hamka baharu di zaman ini?

 

Akal saya sejak kecil memang liar dan suka melencong ke lain apabila saya mendapat sesuatu maklumat. Kata cikgu sekolah itu KBKK (Kemahiran Berfikir Kritis dan Kreatif) atau bahasa lainnya, ‘loyar buruk’. Bagi diri saya, saya bukan begitu. Mungkin saya terlalu mengharap apa yang saya inginkan menjadi kenyataan agaknya maka atas sebab itulah saya gemar mereka-reka.

Minggu lepas saya menonton filem Buya Hamka arahan Fajar Bustomi. Filem biografi ini dipecahkan kepada tiga bahagian dan yang sedang ditayangkan di pawagam sekarang ini baru bahagian pertama. Benar, masakan semuanya hendak disumbat dalam filem yang paling-paling larat ditonton oleh majoriti penonton pun sekitar dua jam sahaja. Saya menontonnya dengan tekun. Nama Hamka memang tidak asing sebab saya mendengar mengenai Hamka sejak kanak-kanak lagi.

Saya pernah menonton filem-filem yang diangkat daripada novelnya seperti Di Bawah Lindungan Kaabah dan juga Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck. Nama Buya Hamka juga kerap disebut oleh datuk dan ayah saya kerana datuk dan ayah saya mengamalkan ajaran tasawuf. Pada kurun kedua puluh, nama Hamka memang cukup masyhur sebagai ulama tasawuf terkemuka di nusantara. Buku-buku tasawuf karangan Hamka saya telaah sejak remaja lagi. Hamka juga terkenal sebagai seorang guru, pengarang, pemberita, seniman, ahli falsafah, tokoh pemikir, ahli politik, dan pejuang nasionalis. Lengkap gila pakejnya!

Itulah yang meliar di fikiran saya. Apa adakah wujudnya ‘Hamka’ yang baharu di zaman media sosial ini? Adakah seorang agamawan hari ini seperti Hamka yang mampu menguasai bidang kesenian dan kebudayaan? Yang seperti Hamka tahu bercakap tentang puisi, filem, atau muzik sebelum menjatuhkan hukum halal-haram. Ustaz manakah pada alaf ini yang mampu mengarang sebuah novel cinta mahsyuk sehingga watak Zainuddin dan Hayati dalam novel Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck digilai serta diperdebatkan oleh rakyat di seluruh pelosok negara?

Pada masa yang sama pula adakah agamawan hari ini tegas seperti Hamka dalam soal politik- lantang membela nasib anak bangsa dengan mengkritik pemerintah? Ada tak yang tahu mengupas ilmu falsafah dan ekonomi dengan selamba memetik nama-nama seperti Karl Marx atau Plato, misalnya, padahal pemikir Islam terdahulu mendalami ilmu sampai ke situ? Saya berangan hari ini akan adanya tokoh agama yang mampu bercakap di media sosial lebih dari soal hukum-hakam atau sirah kerana menurut saya agama yang berpandukan kitab al-Quran bukan tentang peraturan dan kisah-kisah sejarah sahaja. Ada banyak bidang ilmu di dalamnya. Bagi yang amat dahagakan ilmu menunggu-nunggu tampilnya ahli agama yang mahir untuk menghuraikannya.

Andainya, sekali lagi saya berimaginasi – andainya Hamka sendiri berada pada zaman ini bagaimanakah kaedah dakwah yang beliau gunakan? Ya, hari ini negara kita dan Indonesia sudah hendak masuk tiga suku abad merdeka manakala teknologi pula semakin moden dan canggih. Wujudkah Hamka pada zaman ini yang ‘terer’ menggunakan sepenuhnya kecanggihan teknologi sekarang untuk berdakwah? Hamka gemar menggunakan pendekatan kreatif malah nama pena H.A.M.K.A itu sendiri menandakan beliau kreatif.

Mungkin beliau akan membuat filem. Mungkin beliau akan aktif di media sosial. Bagaimanakah ‘konten’ yang beliau isi di Facebook atau Tik Tok? Apa penyelesaian ‘Hamka zaman ini’ dalam isu banyak sangat konsert – apakah mendatangkan kemurkaan Allah atau Allah tidaklah murka seperti Allah murka dengan mereka yang mengamalkan rasuah, kronisme, dan membalak berlebihan sehingga merosakkan alam sekitar? Beranikah ‘Hamka zaman ini’ mengkritik pendakwaan berpilih-pilih dan salahlaku pemerintah? Apakah ‘Hamka’ akan menjadi seperti ‘mereka itu’ yang memuatnaik di media sosial ketika menderma, menolong, dan mengajar untuk meraih ‘likes’ sahaja? Atau ‘Hamka’ akan turut terjebak dengan pergaduhan sesama agamawan tentang tuduh-menuduh ‘engkau wahabi’, ‘engkau salafi’, ‘engkau syiah’ dan ‘Nur Muhammad itu sesat’?

Saya masih berfikir liar membiarkan persoalan saya terawang tanpa jawapan. Apakah cabaran Hamka pada zamannya tidak sehebat cabaran hidup di zaman moden ini atau pada zaman ini sebenarnya sudah pupus para ilmuwan seperti beliau yang luas lagi terbuka setiap pandangannya? Mengapa Hamka terus dikenang sehingga ke hari ini sedangkan ramai juga para ilmuwan dilupakan selepas mati? Apakah maqam mereka tidak sampai sebagai ulama serba boleh yang menguasai ilmu ‘kulit’ dan ‘isi’ atau kemodenan yang dikejar telah merosakkan jiwa masyarakat itu sendiri?

Ramai ilmuwan hebat alam Melayu seperti Hamzah Fansuri, Syeikh Nuruddin Ar-Raniri, Tok Kenali dilupakan. Tidak ramai dapat menghayati ilmu mereka sama seperti apa yang dibawa oleh Hamka dahulu untuk disesuaikan pada zaman ini. Sekali lagi – jika ada Buya Hamka pada zaman ini, siapa ya? - FMT

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili MMKtT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.