`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, December 16, 2012

Hidup peneroka Gatco atau hidup Hindraf?


Peneroka Gatco sebenarnya bukanlah ahli Hindraf, Barisan Nasional mahu pun Pakatan Rakyat.
COMMENT
Bahagian Akhir
(Komen ini merupakan sambungan dari komen yang kami siarkan semalam yang bertajuk “Kemelut Gatco masih tiada kesudahan”.)
Apa sebenarnya yang berlaku pada 5 Disember lepas? Selain daripada bantahan dan kegagalan menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohamad Hasan pada 5 Disember, ada sesuatu perkara yang menarik berlaku yang tidak diketahui oleh umum.
Ketika lebih 150 peneroka sudah pun berkumpul di hadapan Wisma Negeri, beberapa ‘orang kuat’ Hindraf secara tiba-tiba mengedarkan t-shirt rasmi Hindraf berwarna oren kepada peneroka Gatco. Selepas hampir semua peneroka mengenakan t- shirt Hindraf, berlangsung sesi bergambar bersama sepanduk.
Agak mengejutkan sebelum Pengerusi Hindraf P Waytha Moorthy memulakan ucapan, beliau meminta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senawang, P Gunasekaran (DAP) supaya berdiri jauh daripada tempat beliau berucap.
Waytha berkata lebih kurang begini kepada Gunasekaran: “Sebenarnya saya menunggu untuk anda. Kalau anda dah pergi sana, saya boleh mulakan ucapan saya. Saya tidak mahu isu Kampung Gatco menjadi seperti isu Kampung Buah Pala”.
Waytha berkata demikian mungkin merujuk kepada isu Kampung Buah Pala yang DAP sebagai peneraju Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang gagal pertahankan sebuah perkampungan India yang berusia lebih 100 tahun.
Insiden itu membuatkan Gunasekaran; ADUN Paroi, Mohd Taufek Abdul Ghani (PAS) dan beberapa ADUN DAP yang lain berada di situ tersentak.
Tidak lama selepas itu Gunasekaran bersama beberapa ADUN DAP kelihatan beredar dari situ mungkin kerana perasaan malu.
Walaubagaimanapun Waytha membenarkan Mohd Taufek dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan, Mohd Nazree Mohd Yunus berucap.
Apa yang menghairankan ialah selepas Waytha dan peneroka gagal menyerahkan memorandum selepas menanti tiga jam, Waytha melaungkan “Hidup Hindraf! Hidup Hindraf!” berkali-kali dan peneroka Gatco turut sama melaungkan slogan tersebut.
Kenapa laung ‘Hidup Hindraf’
Kenapa tidak laung “Hidup Peneroka Gatco!”? Persoalannya apa kena mengena laungan “Hidup Hindraf” dengan isu peneroka Gatco?
Peneroka Gatco sebenarnya bukanlah ahli Hindraf, Barisan Nasional (BN) mahu pun Pakatan Rakyat. Sebilangan kecil daripada mereka ada yang ahli Umno dan MIC.
Tetapi hampir semua peneroka Gatco boleh dikatakan sebagai peneroka yang tidak berparti walaupun sejak tiga pilihan raya umum yang lalu mereka menyokong penuh calon BN dengan harapan calon BN yang menang akan membantu mereka menyelesaikan kemelut hak milik tanah perladangan yang berlanjutan sejak sekian lama.
Tidak salah Hindraf turut sama perjuangkan hak peneroka Gatco tetapi mengapa Waytha dan orang kanan Hindraf tidak melaungkan “Hidup Peneroka Gatco! “Hidup Peneroka Gatco!”?
Apa tujuan Waytha dan pemimpin Hindraf yang hadir pada pagi itu mengedarkan t-shirt Hindraf berwarna oren? Perhimpunan di hadapan Pejabat Menteri Besar Negeri Sembilan pada pagi 5 Disember lalu seolah-olah seperti perhimpunan Hindraf.
Senario pada pagi itu ternyata jauh berbeza berbanding himpunan pada 28 Mac tahun ini apabila peneroka tidak memakai baju mana-mana parti atau organisasi.
Survival Hindraf
Dari kaca mata media dan orang berkecuali, apa yang boleh dikatakan Hindraf telah menggunakan peneroka Gatco untuk publisiti dan survival Hindraf itu sendiri pada pagi tersebut. Seramai 150 peneroka Gatco yang hadir pada pagi itu tiba-tiba menjadi penyokong Hindraf tanpa mereka sedari.

Tetapi peneroka Gatco yang merupakan warga emas tidak boleh disalahkan sepenuhnya kerana mereka berada dalam keadaan yang terdesak dan mungkin akan ikut sesiapa sahaja yang menjanjikan bantuan dan pertolongan untuk mendapatkan kembali lapan ekar tanah perladangan.
Seorang wartawan media arus perdana berbahasa Melayu bertanya kepada FMT kenapa peneroka semua memakai t-shirt Hindraf. Malah beliau menyatakan keberatan beliau untuk memberi liputan maksima. Tidak diketahui apa yang bermain di dalam kepala wartawan muda tersebut.
Berbanding pada 28 Mac lalu, apabila Mohamad turun dan menerima memorandum peneroka Gatco, kali ini Mohamad tidak datang berjumpa dengan peneroka dengan alasan mesyuarat Exco belum selesai. Beliau hanya menghantar Pegawai Khas beliau Zulkefli Awang untuk menerima memorandum tersebut.
Ada kemungkinan Mohamad tidak mahu melayan peneroka Gatco kali ini kerana tidak menyenangi kehadiran Hindraf.
Waytha dan penyokong Hindraf harus tahu, bagaimana orang Cina dan India umumnya membenci Perkasa kerana menganggap pertubuhan tersebut terlalu ekstrim Melayu. Begitu juga orang Melayu secara umumnya turut membenci Hindraf kerana Hindraf juga dilabel sebagai terlalu ekstrim India.
Ada juga pengundi atas pagar yang menganggap Hindraf adalah Perkasa versi kaum India. Bagi mereka perjuangan Perkasa dan Hindraf adalah sama sahaja iaitu atas teras satu bangsa sahaja.

Mampukah Hindraf atasi masalah Gatco?
Ada sebuah sepanduk yang dibawa oleh pemimpin Hindraf yang dipegang oleh peneroka Gatco berbunyi “Kalau Menteri Besar tak boleh, biar Hindraf selesaikan masalah ini”.
Bagaimana Hindraf ingin menyelesaikan masalah hak milik tanah Gatco tidak pula diketahui.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Peneroka Kampung Serampang Indah (Gatco) sekarang, K Krishnan dan Setiausaha Jawatankuasa, C John sepatutnya bertegas dengan Hindraf atau mana-mana parti politik bahawa peneroka tidak ada masalah jika sesiapa sahaja yang memperjuangkan isu Gatco. Tetapi mereka tidak seharusnya merelakan peneroka Gatco dipergunakan oleh Hindraf atau parti politik untuk publisiti murahan dan kepentingan politik (political mileage).
Krishnan dan John sepatutnya menghalang pemimpin Hindraf daripada mengedarkan t- shirt Hindraf dan juga menegah Waytha daripada menyuruh Gunasekaran menjauhkan diri daripada tempat Waytha berucap.
Ini ialah kerana semua pihak yang memperjuangkan isu Gatco termasuk Hindraf dan pemimpin parti politik berhak berada di situ melainkan Krishnan dan John sendiri yang menyuruh Gunasekaran beredar dari situ.
‘Menangguk di air keruh’
Kelakuan Hindraf umpama ‘menangguk di air keruh’ pada 5 Disember bukanlah kelakuan yang kali pertama berlaku.
Pada 29 September lalu, ibubapa dan bekas murid Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kuala Pilah mengadakan satu bantahan di hadapan sekolah tersebut menuntut kerajaan bina segera sebuah bangunan sekolah baru, memandangkan bangunan sedia ada sempit dan tidak kondusif.
Bantahan itu turut disertai oleh kepimpinan Pakatan Rakyat Negeri Sembilan dan pemimpin Hindraf. Sejurus selepas ibubapa dan kepimpinan Pakatan Rakyat menamatkan sidang akhbar di hadapan sekolah tersebut, sekumpulan kecil pemimpin Hindraf melaungkan slogan “berjuang!” dan “berjuang sehingga saat akhir!”. Tiba-tiba mereka turut melaungkan “Hidup Hindraf!”.
Tidak difahami apa kena mengena “Hidup Hindraf!” dengan isu di SJKT Kuala Pilah.
Alangkah molek kalau pemimpin Hindraf tersebut melaungkan slogan seperti “Hidup SJKT Kuala Pilah!”.

MIC beri harapan baru
Dalam perkembangan terbaru MIC pula muncul memberi satu harapan baru kepada peneroka Gatco apabila Pengerusi MIC Negeri Sembilan, Dato’ T Rajagopalu mengumumkan beberapa keputusan MIC Negeri Sembilan dan kerajaan negeri yang memihak kepada peneroka Gatco.
Rajagopalu berkata seramai 283 peneroka asal Gatco telah ditawarkan empat ekar tanah perladangan manakala 115 peneroka peringkat kedua yang membeli tanah perladangan daripada peneroka asal telah ditawarkan dua ekar tanah perladangan.
Kos penanaman getah semula dan mengukur lot tanah perladangan akan ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan sama ada melalui Risda atau Felcra.
Selain daripada itu Kerajaan Negeri Sembilan juga telah melanjutkan tempoh pajakan (leasehold) tanah perladangan Gatco yang sepatutnya berakhir pada tahun 2042; untuk tempoh 99 tahun lagi.
“Dalam mesyuarat MIC negeri yang diadakan pada 10 Disember, yang turut dihadiri oleh wakil peneroka Gatco; kami juga telah memutuskan agar surat tawaran hak milik tanah perladangan Gatco harus diberikan kepada peneroka dengan kadar segera.
“Saya telah memohon kepada Menteri Besar untuk menyegerakan pemberian surat tawaran hak milik tanah perladangan peneroka Gatco”, kata Rajagopalu kepada FMT.
Lapan ekar tanah
Rajagopalu juga berkata jika ada peneroka Gatco tetap mahukan lapan ekar tanah perladangan, maka beliau akan berunding dengan Syarikat Thamarai Holdings berhubung urusan jual beli tanah perladangan tersebut.
“MIC Negeri Sembilan akan melantik sebuah syarikat Jurunilai untuk menilai pasaran semasa setiap se ekar tanah perladangan tersebut dan akan menanggung kos perunding Jurunilai tersebut.
“Maka mana-mana peneroka yang ingin memiliki lebih daripada empat ekar tanah perladangan, maka mereka perlu membayar harga pasaran semasa tanah di situ untuk empat ekar tanah selebihnya.
“Peneroka yang mampu, boleh membeli enam, tujuh atau lapan ekar tanah perladangan setiap seorang mengikut kemampuan masing-masing”, jelas Rajagopalu.
FMT gagal hubungi Rajagopalu untuk mendapatkan maklum balas beliau untuk mengetahui status terkini berhubung rundingan beliau dengan Syarikat Thamarai Holdings berkaitan tawaran mengizinkan peneroka Gatco membeli lebih dari empat ekar tanah perladangan daripada Syarikat Thamarai Holdings.

Kata pendapat FMT
Sebenarnya kemelut ini tidak sepatutnya berlaku jika Kerajaan Negeri Sembilan mengambil tindakan sewajarnya sejak kawasan penempatan dan perladangan Gatco ini dibuka pada tahun 1977.
Peneroka membawa masalah ini kepada dua bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Sri Rais Yatim dan Tan Sri Mohd Isa Samad ketika tempoh kedua-dua pemimpin Umno itu menjadi Menteri Besar dahulu.
Sekarang giliran Mohamad pula untuk mendengar keluhan peneroka Gatco.
Kemelut ini mungkin boleh diselesaikan jika Menteri Besar mempunyai ‘political will’ dengan mengguna pakai Seksyen 3 Akta Pemilikan Tanah yang memberi kuasa kepada Kerajaan Negeri memiliki sebarang tanah untuk kepentingan awam melalui sesiapa atau organisasi di mana Kerajaan Negeri berpendapat ia menguntungkan perkembangan ekonomi di Malaysia.
Lagi pun asalnya Kerajaan Negeri Sembilan memberikan tanah ini kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Negeri Sembilan (PKNNS) melalui pajakan 99 tahun. PKNNS pula memberikan tanah ini kepada Gatco melalui pajakan 66 tahun.
Peneroka mendakwa di dalam perjanjian antara PKNNS dengan Gatco, jelas disebut bahawa tanah ini diberikan kepada Gatco dan tanah ini mesti dibangunkan untuk peneroka.
Atas sebab itu Kerajaan Negeri Sembilan dan PKNNS tidak boleh lari dari tanggungjawab mereka dalam memastikan nasib dan hak peneroka dibela dan dijamin.
Kini satu-satunya saluran yang tinggal untuk peneroka Gatco ialah melalui pintu rundingan. Setakat ini yang berjanji membuat rundingan dengan Syarikat Thamarai Holdings ialah Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang, Prof P Ramasamy (DAP) dan Rajagopalu.
Mohamad juga boleh melakukan keajaiban dengan kuasa dan pengaruh beliau sebagai orang No.1 di Negeri Sembilan.
Walabagaimanapun semua itu bergantung pada Mohamad dan Syarikat Thamarai Holdings itu sendiri.
Mungkin satu-satunya jalan terakhir untuk peneroka Gatco mendapatkan hak mereka semula ialah dengan menukar Kerajaan Negeri pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti, dengan harapan Kerajaan Negeri baru (Pakatan Rakyat) menggunakan segala kuasa yang ada pada mereka menyerahkan kembali hak peneroka dan membayar pampasan sewajarnya kepada Syarikat Thamarai Holdings.
Diharap pemimpin Pakatan Rakyat Negeri Sembilan yang sering melaung-laungkan bahawa mereka akan kembalikan hak peneroka Gatco jika berjaya mengambil alih Wisma Negeri mengotakan janji mereka sekiranya berjaya membentuk kerajaan baru pada PRU-13 nanti.
Untuk berlaku adil, Syarikat Thamarai Holdings tidak boleh disalahkan dalam kemelut
ini kerana mereka membeli tanah perladangan Gatco ini mengikut lunas undang-undang
yang betul.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.