UMNO sebagaimana yang saya sebut akhir-akhir ini sudah hilang moral dan sifatnya sebagai parti yang memerintah negara berbilang kaum, seperti negara kita ini. UMNO sudah hilang ‘magnanimity’ sebagai parti pemerintah negara kerana kecenderungan pemimpin-pemimpinnya hanya mahu memimpin orang Melayu dan membawa orang Melayu memusuhi bangsa lain. Ini lebih terlihat dalam siri kempen pemilihan UMNO dan ia dilakukan, bukannya oleh Ketua-Ketua Cawangan, tetapi oleh Naib Presiden dan calon Naib Presiden. Apa yang berlaku di Melaka beberapa hari lalu adalah contoh jelas keadaan ini.
Pemilihan UMNO kali ini merupakan pemilihan yang paling buruk nilai pemimpin yang bertanding untuk memegang jawatan tinggi parti itu. Di mana-mana orang ramai bercakap betapa teruknya kempen yang di tunjukkan oleh Ahmad Zahid Hamidi dan Ali Rustam, bekas Ketua Menteri Melaka, beberapa hari yang lepas. “It’s atrocious” kata ramai rakan-rakan apabila berjumpa dengan rakan-rakan dalam UMNO yang ramai diantaranya hadir dalam siri kempen mereka.
Zahid dan Ali menggunakan isu rasis yang menebal untuk menaikkan semangat Melayu kononnya dan membuatkan mereka berdiri dibelakang mereka dalam siri kempen pemilihan parti kali ini. Gaya ini merupakan manifestasi pemimpin yang kurang kepimpinan. Nampaknya Zahid dan Ali hanya mahu memimpin orang Melayu dan tidak mahu memimpin bangsa-bangsa lain di negara ini.
Mereka tidak berkeyakinan untuk mendapat sokongan tanpa menggunakan isu perkauman. Ali Rustam sampai kehari ini menggunakan isu orang Cina tidak mengundi beliau walaupun orang Cina dikawasan mereka telah beliau tolong dalam kehidupan mereka dengan begitu banyak.
Ini menunjukkan betapa jengkelnya calon Naib Presiden ini kerana beliau mengambil pemberian dan pertolongan kepada mereka untuk menambat undi mereka dalam setiap pilihanraya. Ali tidak tahu isu nasional merupakan isu besar dalam negara kita. Pengundi tidak boleh di beli dengan pertolongan wang.
Mereka melihat isu keselamatan dan isu rasuah dan berbagai isu yang melingkungi kehidupan manusia di negara ini. Kalau isu pemberian dan hadiah menjadi penentu kepada kemenangan maka BN sepatutnya menang dalam semua kerusi kerana setiap keluarga mendapat bantuan BRIM dan berbagai-bagai lagi bantuan ‘one offs’ dari kerajaan.
Zahid pula menunjukkan sifat kurang berkeyakinan dengan menonjolkan sikap garang dan berapi kononnya beliau begitu prihatin terhadap keselamatan negara dan ketinggalan bangsa Melayu dalam semua bidang. Beliau berasa tidak senang dengan kritikan media massa sehinggakan beliau menggertak media dan portal berita yang beliau anggap memutar belitkan semua kenyataan beliau.
Kalau pun ada perasaan marah tunjukkanlah kemarahan itu dengan cara seorang pemimpin marah dan bukannya dengan menggertak dan membidas seolah-olah beliau tidak mempunyai ciri kepimpinan. Zahid dan Ali tidak ada langsung apa yang dikatakan ‘decorum’ dalam perbahasan mereka.
Blog ini selalu menyatakan yang mereka yang memimpin pada hari ini diletakkan tidak kena pada tempatnya. Ibarat menyuruh pembuat songkok membuat kasut dan pembuat kasut membuat songkok. Mereka adalah pemimpin yang keliru kerana yang sudah pasti mereka berada diatas itu tidak tahu samada mereka berada ditempat mereka kerana kepimpinan atau kerana kuasa wang yang ada kepada mereka.
Itu sebabnya saya selalu menyatakan yang siapa pun yang dipilih diantara calon-calon Naib Presiden iu tidak memberikan apa-apa perbezaan kepada kepimpinan dan pembaharuan politik yang di gegarkan oleh Najib dan Muhyiddin selama ini.
Kita menjadi bahan lawak jenaka kepada masyarakat antarabangsa dan tiada siapa yang merasa malu dengan keadaan ini. Tidak pula mereka sedar yang semua pihak nampak dan menjejaki permainan ‘cah keting’ diantara puak-puak dalam UMNO itu. Dalam keadaan negara sudah hampir lumpuh ini, masih lagi pimpinan bercakaran diantara satu dengan lain untuk menguasai parti UMNO itu.
Entah mana satu yang betul tiada siapa yang tahu. Yang pasti pemimpin rasuah berjanji hendak menghapuskan kegiatan rasuah itu, yang melanun hendak memberhentikan rompakan dan yang merosakan parti dan kerajaan berjanji hendak membetulkan keadaan.
Blog ini pernah berkata, jika hendak memecah dan merosakkan negara berikan tugas itu kepada UMNO, dan jika hendak menambah kerosakan itu minta UMNO untuk memperbaikinya. Keburukan ini bukan sahaja dilakukan oleh UMNO dan komponennya dalam Barisan Nasional tetapi juga oleh satu dua parti dalam Pakatan Rakyat.
Nampaknya UMNO hanya memperjuangkan orang Melayu dan parti lain seperti DAP hanya memperjuangkan bangsa yang mendominasi parti itu sahaja. Cerita memperjuangkan keperbilangan kaum tidak wujud dalam negara ini. Kalau ada pun nampaknya hanya PAS sahaja yang memperjuangkan mengikut landasan agama. Tetapi PAS bermasalah juga kerana parti itu tidak mampu mentadbir dan mengurus kejayaan.
Negara sedang dalam keadaan tenat. Entah siapa yang akan di timbulkan Tuhan untuk menjadi penyelamat kepada keadaan negara, yang sistemnya sedang melalui proses kereputan ini.
Kita sekarang merasakan seolah-olah kita sudah tidak ada kerajaan lagi. Maka saya ingin mengulangi, elok kita mulakan sebuah negara baru yang selalu di sarankan oleh blog ini.
Kita sekarang merasakan seolah-olah kita sudah tidak ada kerajaan lagi. Maka saya ingin mengulangi, elok kita mulakan sebuah negara baru yang selalu di sarankan oleh blog ini.

No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.