Saya bersetuju dengan Dr Mahathir yang politik wang sememangnya satu fenomena lama dalam UMNO. Ia berlaku semasa beliau menjadi Presiden parti itu lagi, tetapi mereka tidak akan mengaku menerima atau memberi wang dalam pengundian itu. Jarang-jarang saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi isu politik wang sekarang ini saya bersetuju dengan beliau. Politik wang masih berlaku tetapi tidak mempunyai bukti untuk diketengahkan.
Anak beliau sendiri sedang bersaing untuk menjadi Naib Presiden kali ini. Oleh kerana hanya dengan membayar undi baru mendapat undi dari perwakilan maka ada kita mendengar Mukhriz juga dikatakan memberi undi di Sabah dan beberapa tempat yang lain, tetapi bak kata bapanya sendiri adalah susah untuk membuktikan permainan politik wang ini dan kita mendengar juga Mukhriz sendiri tidak dapat mengelak dari bermain cara politik yang sama.
Dr Mahathir juga membayangkan yang semasa beliau menjadi Presiden UMNO, salah seorang atau lebih dari Timbalan-Timbalan yang ramai itu bermain dengan politik wang. Ini memang berlaku dari dulu lagi dan beliau tidak dapat mengawalnya.
Semuanya itu saya bersetuju dengan Dr Mahathir. Tetapi saya akan lebih bersetuju jika Dr Mahathir memahami yang politik wang ini bukan sahaja berlaku dalam masa pemilihan. Politik wang ini sudah berlaku setiap waktu dan setiap tempat.
Apabila seseorang itu menjadi pemimpin utama kerana politik wang, pemimpin ini akan mendapat tempat dalam kerajaan dan mereka menggunakan kedudukan mereka dalam kerajaan hasil dari politik wang tadi untuk terus memainkan politik wang. Memberikan peluang dan menggunakan pengaruh keatas Petronas dan juga mana-mana agensi kerajaan untuk mendapatkan laba adalah politik wang yang lebih besar dalam isu ini.
Dr Mahathir terlupa yang keuntungan dan kemudahan anak-anak beliau mendapatkan kontrak besar-besar dalam kerajaan itu adalah hasil dari politik beliau juga. Maka politik wang ini elok kita hentikan sahaja isu ini kerana lagi kita bercakap tentangnya lagi banyak permainan politik wang berlaku.
Kalau tidak kerana politik, Mirzan tidak akan mendapat peluang menggunakan dana rakyat untuk melepaskan beliau dari kegagalan beliau dalam perniagaan dahulu. Mirzan menggunakan hampir dua billion ringgit wang rakyat untuk menyelamatkan perniagaannya.
Menggunakan wang kerajaan untuk majlis pertunangan anak seorang pemimpin negara beberapa ketika dahulu itu adalah politik wang. Ratusan ribuan wang rakyat di gunakan untuk majlis pertunangan pemimpin politik ini. Memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BRIM) adalah politik wang.
Mendapatkan ahli keluarga dana yang murah dari kerajaan untuk membela lembu sebanyak RM250 juta itu politik wang, kerana jika bukan kerana politik, orang yang saya maksudkan itu tidak akan dapat menggunakan wang kerajaan begitu banyak.
Menggunakan kedudukan dengan menyewa jet peribadi yang menelan belanja hampir seratus juta dalam tempoh tiga tahun itu adalah politik wang. Beliau ini tidak akan mendapatkan peluang untuk memerah keringat rakyat untuk membiayai jet-jet peribadi ini jika tidak kerana politik.
Saya bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir ini, tetapi beliau hanya menyebut tentang politik wang hanya dalam pemilihan UMNO sahaja. Dalam konteks ini kita semua teringat beliau gagal untuk menjadi perwakilan UMNO Kubang Pasu oleh kerana politik wang.beberapa tahun dahulu.
Beliau kalah dalam pemilihan itu kerana beliau tidak mempunyai pengikut setia dan beliau sendiri kalah untuk menjadi perwakilan kerana politik wang itu. Selama ini beliau di ikuti ramai kerana pangkat yang ada kepada kita sahaja. Apabila kuasa hilang hendak jadi perwakilan ke Perhimpunan Agung pun gagal kerana politik wang itu.
Itu sebabnya jika kita tidak mempunyai sokongan kita akan gagal dengan musuh kerana musuh hanya menggunakan wang sebanyak RM200 bagi menolak kita dari menjadi perwakilan ke Perhimpunan Agung UMNO.
Dalam pemilihan kali ini, calon-calon terutamanya calon-calon Naib Presiden, wang merupakan penentu kalah menangnya calon itu. Itulah sebabnya mana-mana Menteri Besar yang tidak turut serta dalam pertandingan kali ini sangat beruntung kerana tidak payah bermain dengan pembelian undi yang belum pasti membawa kemenangan dalam pertandingan itu.
Jika ada Menteri Besar menyertai pertandingan kali ini ia sudah pasti bersedia dengan wang ringgit yang banyak untuk di taburkan kepada perwakilan.
Itu sebabnya UMNO sudah menjadi parti yang dianggap ‘jahanam’ kerana tiada wang tiada undi. Rasuah sudah tidak dapat di kawal lagi dan ia tidak akan dapat dihapuskan lagi. Rasuah dan UMNO itu ibarat aur dengan tebing, saling menyandar diantara satu dengan yang lain. Tiada UMNO tiada rasuah besar, dan jika tiada rasuah besar UMNO akan hilang di muka bumi ini.
Rasuah sahaja yang boleh menyelamatkan UMNO itu. Jika ada pun cara lain untuk mengelakkan permainan wang dalam politik ini ialah dengan mengenepikan semua pemimpin UMNO dalam pemilihan parti itu.
Tetapi kalau hendak buang semua, siapa pula yang mereka hendak undi? Sebabnya yang ditandingi itu rasuah dan yang menandingi juga adalah perasuah. UMNO tidak akan dapat membetulkan keadaan ini sendirian. Ia memerlukan semua parti dalam BN itu menggunakan tindakan yang dihalalkan oleh demokrasi untuk menukar semua pemimpin UMNO itu.
Pemimpin-pemimpin UMNO yang baik tidak mahu bertanding kerana ahli-ahli dan perwakilan sudah di budayakan memberikan undi kepada mereka yang menghulur wang rasuah dalam pemilihan.
Oleh itu tidak ada ruang untuk pemimpin bersih untuk mengambil alih kepimpinan UMNO itu jika tidak dibantu oleh parti-parti yang insaf dalam BN itu.
Dalam hal ini Dr Mahathir kena bersetuju dengan saya pula.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.