`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, November 26, 2013

Sik - Penternak kambing rayu bantuan


Mohd. Syaharudin Abu Bakar menunjukkan bangsal yang dibina untuk menempatkan kambing seperti yang dijanjikan oleh Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Kedah yang kini terbengkalai di Mukim Sok, Sik, Kedah, semalam.

SIK 21 Nov. - Empat peserta Kursus Transformasi Usahawan Sektor Ternak (Trust) merayu Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kedah menyalurkan bantuan ternakan kambing yang dijanjikan tiga tahun lalu.

Berikutan ketiadaan bantuan tersebut, mereka mengalami kerugian antara RM15,000 hingga RM30,000 akibat kandang haiwan tersebut yang siap dibina untuk penternakan tersebut kini reput dan rosak.

Peserta dari Kampung Surau, Mukim Sok, Mohd. Syaharudin Abu Bakar, 39, berkata, mereka dijanjikan bantuan kambing selepas mengikuti kursus pada 30 Oktober sehingga 1 November 2010, namun sehingga kini bantuan tersebut masih tiada khabar berita.

"Tiga tahun telah berlalu, tetapi janji-janji yang diberikan oleh jabatan itu masih lagi menjadi tanda tanya kepada kami sedangkan bangsal-bangsal yang didirikan dulu telah reput dan ditumbuhi semak-samun."

"Apa yang dikesalkan, saya telah menjual kesemua kambing belaan saya yang menjadi asas penternakan kambing untuk mendapatkan dana bagi membina bangsal untuk menempatkan kambing-kambing yang baharu," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Mohd. Syahrudin yang kerugian RM15,000 berkata, kesemua peserta masing-masing bergelut membina bangsal-bangsal yang perlu untuk menempatkan kambing-kambing yang dijanjikan dalam tempoh dua minggu.

Namun, katanya, setelah siap bangsal didirikan, kambing-kambing yang dijanjikan iaitu sebanyak 30 ekor kesemuanya termasuk baka induk tidak diterima sehingga kini.

Selain dijanjikan bantuan kambing, menurutnya, setiap peserta juga dijanjikan bantuan peralatan dan ubat-ubatan, vitamin, ubat penenang untuk kambing, ubat jangkitan kulit, termasuk bantuan garam.

Dia berkata, ketika proses pembinaan bangsal-bangsal tersebut, pemantauan dilakukan sebanyak dua kali oleh pegawai terlibat sekali gus menyakinkan setiap peserta untuk menerima bantuan kambing seperti yang dijanjikan.

"Saya amat rasa tertipu dan malu kepada masyarakat sekeliling yang mencemuh dan mengejek kerana projek penternakan kambing seperti yang diharapkan telah mengalami kegagalan selain daripada menanggung kerugian yang banyak," katanya lagi yang kini hanya mengusahakan ikan pekasam di rumahnya. -Utusan

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.