Bantuan yang diberikan oleh kerajaan Selangor ialah baucar RM 30 untuk membeli kasut sekolah
PETALING JAYA: Sistem pesanan ringkas (SMS) berkenaan pemberian baucar bernilai RM200 melalui Program ‘Jom Shopping Kembali ke Sekolah’ oleh kerajaan negeri Selangor yang tersebar di negeri ini merupakan SMS palsu.
Menurut satu kenyataan bersama dari Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor Dr Halimah Ali dan Ahli Parlimen (MP) Kapar Manivannan Gowin, SMS ini adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan merupakan fitnah kepada kerajaan Pakatan Rakyat (PR).
“Merujuk kepada pesanan SMS berkenaan bantuan baucar RM 200 diberikan adalah tidak benar dan palsu. Bantuan yang diberikan oleh kerajaan Selangor ialah baucar RM30 untuk membeli kasut sekolah,” kenyataan tersebut berbunyi.
Kenyataan itu turut menekankan beberapa perkataan yang salah digunakan di dalam SMS itu memberikan pandangan bahawa ianya diereka semata-mata.
“Penggunaan perkataan ‘Pengajian Tinggi’ adalah salah kerana ia sepatutnya ditulis sebagai Pendidikan Tinggi.
“Tiga nama yang tertera di dalam pesanan SMS berkenaan (juga) bukan nama pegawai Sekretariat Exco tetapi Pegawai Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor dan penekanan perkataan ‘kecuali Mydin dan Kedai Rakyat 1Malaysia’ adalah percubaan untuk memperkukuhkan seolah–olah mesej ini dihantar oleh kerajaan Selangor,”
Berhati-hati dengan sms palsuDisamping itu, tarikh bermulanya sebaran SMS itu kurang dari 24 jam program sebenar berlangsung disifatkan sebagai percubaan untuk mengelirukan dan mengecewakan rakyat Selangor, terutamanya golongan miskin.
“Perkataan ‘datang bersama ibu bapa’ ialah percubaan untuk membebankan dan menyemarakkan rasa marah ibu-bapa terutamanya golongan yang miskin,”
Justeru, satu laporan polis telah dibuat berhubung penyebaran tersebut semalam oleh pihak yang dinamakan di dalam SMS tersebut.
“Kami menghendaki pihak polis melakukan siasatan terperinci supaya sumber dan punca asal SMS ini dikesan dan dikenalpasti dan seterusnya dihadap ke muka pengadilan.
“Kami juga mendesak pihak–pihak yang terlibat dalam penyebaran SMS fitnah ini, memberhentikan perbuatan ini dengan serta–merta daripada menganiaya dan memperdayakan golongan miskin Negeri Selangor,”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.