Presiden Anak Mazlan Aliman mendakwa, nilai yang dibuat beberapa firma bebas lain menunjukkan saham itu boleh dijual dengan harga lebih tinggi.
KUALA LUMPUR: Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) mendakwa Koperasi Permodalan Felda Berhad (KPF) menjual 51% ekuiti saham kepada Felda GLobal Venture Holdings Berhad (FGVH) pada harga rendah.
KPF menjual keseluruhan 112 juta (51%) unit saham dalam Felda Holdings Berhad (FHB) kepada FGVH membabitkan jumlah bernilai RM2.2 bilion dengan nilai RM19.61 sesaham secara tunai.
Keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Agung Khas (EGM) KPF di Menara Felda pada 27 Oktober lalu dan mendapat persetujuan majoriti besar perwakilan.
Bagaimanapun Presiden Anak Mazlan Aliman mendakwa, nilai yang dibuat beberapa firma bebas lain menunjukkan saham itu boleh dijual dengan harga lebih tinggi.
Menurutnya, firma penyelidik Kenanga Research dalam laporan 8 November 2012 menilaikan 51% ekuiti saham itu boleh dijual dengan jumlah RM3.2 bilion, manakala TA Securities pada Julai 2013 menilaikan jumlah RM4.08 bilion dan Bank CIMB RM2.8 bilion (19 Julai 2013).
“Bagaimana jumlah nilai itu boleh dipersetujui sedangkan laporan penganalisis hasil kajian awal membuktikan nilainya lebih besar daripada itu.
“Malah KPF juga tidak merujuk kepada Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) untuk mengadakan EGM dan menjual saham,” katanya ketika ditemui di pejabat SKM di sini hari ini.
Beliau turut mempersoalkan cara pengundian EGM yang sepatutnya dibuat secara sulit dan bukannya secara terbuka (angkat tangan) memandangkan ia membabitkan agenda penting.
“Dengan terjualnya ekuiti ini maka ia akan terbuka kepada awam dan bukan lagi hak milik eksklusif peneroka dan kakitangan Felda,” katanya.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu juga mendakwa wujudnya konflik kepentingan dalam penjualan ekuiti tersebut apabila Pengerusi KPF Datuk Faizoull Ahmad juga adalah Ahli Lembaga Pengarah FHB dan FGVH.
“Jika benar dakwaan tersebut ia adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa,” tegasnya.
Mazlan dan peneroka sebelum itu hadir ke pejabat SKM menyerahkan memorandum kepada Pengerusi Eksekutif SKM Datuk Nik Ali Mat Yunus mendesak supaya siasatan dilakukan jika berlakunya sebarang penyelewengan dan menjejaskan kepentingan 207,913 ahli KPF.
Katanya, Anak akan membuat laporan polis sebagai langkah susulan sebelum menyerahkan dokumen untuk siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita punya bukti lengkap tetapi hari ini tak boleh serahkan kepada SKM kerana ia sulit dan terletak dibawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).
“Sebaliknya segala dokumen akan diberi kepada SPRM kerana ia menjamin perlindungan kepada pemberi maklumat,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.