Bekas Naib Canselor UiTM itu berkata, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi membincangkan masalah itu dan tekanan dihadapi pensyarah antara faktor penyumbang kemerosotan kedudukan universiti itu.
“Daripada segi kedudukan, kita jatuh teruk. Begitu juga di peringkat kebangsaan. Ini saya bimbang. Tiada makna bermegah UiTM sebagai universiti Melayu terbesar dunia jika kualitinya menurun dan tidak dihormati sebagai sebuah universiti.
QS World University Rankings pada September mengumumkan kedudukan 800 universiti teratas di seluruh dunia bagi 2013 dan UiTM berada di antara kedudukan 700, merosot 100 anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Lima universiti tempatan lain yang mencatatkan penurunan adalah Universiti Malaya berada di kedudukan 167, Universiti Kebangsaan Malaysia (269), Universiti Sains Malaysia (355), Universiti Putra Malaysia (411), Universiti Islam Antarabangsa (501) manakala Universiti Teknologi Malaysia naik tiga anak tangga ke kedudukan (355).
Ketika ditanya adakah kemerosotan prestasi UiTM itu disebabkan kualiti rendah tenaga pengajarnya, Ibrahim berkata: “Itu tiada kena-mengena. Masa saya menjadi naib canselor, situasinya sama iaitu pelajar 100% Melayu Bumiputera tetapi pada 2007 hingga 2009, UiTM menjadi universiti teratas setaraf universiti tempatan malah pada suatu ketika dikatakan lebih hebat.”
Ibrahim berkata, tekanan pensyarah juga perlu diambil kira selain motivasi pendidik itu yang dikatakan semakin menurun.
Katanya, selaku ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno yang baru dilantik, beliau berhasrat melakukan penambahbaikan kepada UiTM sekiranya diberikan peluang.
"Mungkin pensyarah berasa tertekan dan motivasi menurun. Saya tak pasti. Kita perlu kaji dan bangkit semula.
“Saya sebagai MT, kalau diberikan peranan saya ingin membantu memastikan UiTM bangkit semula daripada segi budaya universiti yang saya nampak semakin menurun," katanya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semasa mengumumkan program pemerkasaan ekonomi Bumiputera pada September berkata, pengambilan pelajar UiTM akan ditambah kepada 250,000 menjelang 2020 sebagai sebahagian perancangan melahirkan modal insan Bumiputera berkualiti tinggi sekali gus menjayakan hasrat memperkasa ekonomi kaum majoriti itu.
Najib berkata, serentak dengan penetapan pengambilan itu, beberapa kampus baru cawangan UiTM akan dibangunkan di seluruh negara agar dapat menampung penambahan jumlah pelajar seperti disasarkan.
Ibrahim berkata, satu jawatankuasa khas perlu ditubuhkan bagi mengenalpasti permasalahan yang sedang berlaku kepada universiti itu.
“Sebabnya saya tahu. Memang banyak. Kerajaan kena teliti semula. Jika kerajaan ikhlas untuk memperbaiki UiTM, sila menilai kembali UiTM pada hari ini apa sebab kita menurun.
“Satu jawatankuasa khas perlu melihat perkara itu. Saya ingin melihat UiTM menjadi universiti terulung. Kita tak mahu melihat kualiti UiTM makin lama makin menurun dan kita nampaknya tidak sehebat dahulu lagi. Itu saya bimbang,” katanya.
Naib Canselor UiTM, Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar, ketika ditemui pada September berkata, UiTM tidak mengejar kedudukan dan tidak pernah meminta untuk dinilai bagi berada di dalam kedudukan tersebut.
Katanya, salah satu faktor yang diambil kira dalam penilaian adalah bilangan pelajar antarabangsa sebaliknya UiTM membuka ruang seluas-luasnya kepada 200,000 pelajarnya yang menyebabkan universiti itu kurang daripada segi pemarkahan.
"Universiti lain yang tersenarai hanya ada 20,000 pelajar. Mana boleh disamakan dengan kita. UiTM ada program diploma dan pensyarahnya pula kebanyakan berkelayakan sarjana sahaja.
“Bilangan pensyarah kelulusan sarjana lebih tinggi daripada doktor falsafah, itu sebabnya dikurangkan markah. Tujuan kita jelas mahu meramaikan kakitangan separa professional,” katanya.
Beliau turut menyelar pihak yang memperlekehkan kemerosotan kedudukan universiti itu dengan berkata: "Siapa kata ranking kita jatuh, ilmunya kurang. Apabila ilmu cetek, cakap banyak, orang label kurang pintar. Kaji baik-baik, baru tahu apa bezanya. Orang tidak tahu pasal ranking jangan cakap. Yang boleh cakap pasal ranking, hanya ahli akademik.”
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.