`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, September 5, 2014

PAS nafi namakan tiga exconya sebagai calon MB Selangor



DETIK DAILY 


PAS menafikan laporan The Star Online hari ini yang mengatakan parti Islam itu menghantar tiga nama Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) mereka di Selangor untuk dilantik sebagai menteri besar (MB).

 Menurut Datuk Mustafa Ali , laporan portal berkenaan tidak benar dan cadangan menamakan tiga exco berkenaan kepada istana Selangor dibatalkan.

"Laporan itu tidak betul kerana cadangan untuk mencadang ketiga-tiga nama itu sudah dibatalkan," kata setiausaha agung PAS itu 
Bagaimanapun, Mustafa enggan mendedahkan buat masa ini nama yang dicalonkan PAS kepada istana.

The Star Online melaporkan hari ini Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang menghantar tiga nama exco Selangor kepada istana untuk dipertimbangkan sebagai calon MB.

Laporan itu berkata seorang pegawai kanan Hadi "tidak menafikan surat sedemikian dihantar" tetapi mengatakan biarlah pemimpin parti yang mengeluarkan kenyataan.

"Ini adalah perkara sulit dan saya tidak boleh berbincang mengenainya," katanya seperti dilaporkan The Star Online.

Sultan Sharafuddin Idris Shah memberikan masa sehingga semalam (3 September) kepada ketiga-tiga parti dalam PR (PAS, PKR dan DAP) menghantar sekurang-kurangnya dua nama kepada baginda untuk dipertimbangkan sebagai MB Selangor yang baru.

Petang semalam, PKR memberitahu ia mendapat pengesahan istana menerima pencalonan parti itu, namun baginda tetap meminta agar lebih dari dua nama dihantar.

Sehingga kini, PKR belum membuat apa-apa pengumuman terbaru selepas kenyataan  Setiausaha Agungnya, Datuk Saifudin Nasution Ismail ditarik balik malam tadi.

Mesyuarat PAS pada 17 Ogos lalu mencalonkan dua nama untuk dipertimbangkan Sultan Selangor, iaitu presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan timbalannya Mohamed Azmin Ali.

Namun The Malaysian Insider difahamkan, pihak istana tetap mahu agar syarat baginda "lebih dari dua nama" dipenuhi.

Menurut undang-undang tubuh kerajaan negeri Selangor, Sultan hendaklah melantik seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai MB di kalangan mereka yang mendapat sokongan majoriti ahli Dewan Undangan Negeri (DUN).

Seorang pensyarah undang-undang, Datuk Salehuddin Saidin dalam rancangan Bual Bicara TV3 malam tadi, berkata Sultan tidak terikat untuk melantik Dr Wan Azizah walaupun mempunyai akuan bersumpah (SD) 30 anggota Adun kerana Adun lain juga boleh jadi mempunyai sokongan sedemikian.

"Sultan tidak terikat dengan seorang nama yang mempunyai sokongan majoriti sahaja kerana boleh jadi orang lain juga mempunyai sokongan sedemikian," kata Salehuddin, yang juga bekas pegawai kanan Pejabat Peguam Negara.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.