PULAU AMAN: Semalam badan seorang wanita tanpa kepala dan kaki ditemui di dalam beg pakaian di Taman Botani, George Town dan hari ini, sepasang kaki dipercayai milik mangsa pula ditemui di tempat pembuangan sampah di Pulau Burung, Nibong Tebal.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kaki hingga paras lutut itu dijumpai dalam keadaan terpisah beberapa meter antara satu sama lain kira-kira 12 tengah hari.
"Kaki sebelah kanan dijumpai orang awam manakala sebelah lagi ditemui anggota polis yang memeriksa kawasan itu.
"Kaki berkulit cerah itu didapati sudah mengembang serta berbau busuk dan terdapat kesan darah kering," katanya kepada pemberita pada program High Profile Policing bersama penduduk Pulau Aman hari ini.
Beliau berkata, kaki berkenaan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk ujian DNA bagi mengesahkannya sama ada ia milik mangsa atau sebaiknya.
Abdul Rahim berkata, pihaknya turut menghantar Unit Anjing Pengesan K9 di tempat kejadian untuk mengumpul bukti lanjut.
Beliau turut mengesahkan mayat wanita yang ditemui itu adalah warga asing.
Pihak polis sedang mencari kepala mangsa dan meminta orang ramai yang menemui objek seperti kepala agar menghubungi balai berhampiran.
Hasil bedah siasat mendapati mangsa dijerut sehingga mati sebelum badannya dipotong dengan peralatan tajam.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.