`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Friday, November 28, 2014

KLIA2 Memang Bermasaalah Rupanya...


Sejak mula dibina kira-kira empat tahun lalu, klia2 yang menggantikan Terminal Tambang Murah (LCCT) itu tidak pernah sunyi daripada kontroversi.

Hari ini selepas lebih lima bulan beroperasi kepada umum, klia2 masih lagi 'panas'. Kali ini klia2 diselubungi masalah mendapan dan pergerakan tanah sedangkan lazimnya isu membabitkan kerja-kerja tanah diselesaikan sebelum sebarang projek dimulakan.

Pengarah Urusannya, Datuk Badlisham Ghazali mengesahkan mendapan tanah dan takungan air disebabkan terdapat perbezaan permukaan di kawasan apron (kawasan letak pesawat) dan taxiway (laluan pesawat) yang mana sebahagian struktur berada di atas cerucuk manakala sebahagian yang lain berada di atas tanah biasa.

Ini telah menyebabkan rekahan dan takungan air di beberapa kawasan di sekitar apron dan taxiways.

Lantaran itu, program penyelenggaraan khas merangkumi penyelesaian jangka pendek dan panjang telah dimulakan menggunakan perbelanjaan operasi MAHB sejak 19 Jun lalu hampir dua minggu selepas klia2 dirasmikan pada 6 Jun lalu.

klia2 memulakan operasi komersial dengan perpindahan daripada LCCT pada 1 Mei dan dibuka kepada umum pada 9 Mei selepas pembukaanya hampir dua tahun tertangguh. klia2 mempunyai 42 tempat di apron dan 12 kawasan di taxiways yang telah dikenalpasti untuk dibaiki dalam tempoh jangka panjang dan kerja-kerja pembaikan dijangka siap pada April 2016 kerana ia perlu dilaksanakan secara berperingkat bagi meminimumkan gangguan operasi.

Pemantauan secara teliti dilakukan setiap hari supaya sekiranya terdapat pergerakan tanah di kawasan lain boleh dikesan dengan lebih cepat dan pada masa sama, kawasan yang telah dibaiki juga dilakukan pemantauan supaya kejadian tersebut tidak berulang.

Bagi mengatasi masalah takungan air pula, Badlisham berkata, MAHB sedang membuat pernilaian untuk membeli kenderaan khas menyedut air seperti yang digunakan sekarang.

Terdapat beberapa model yang sedang diteliti dan mempunyai kapasiti untuk menyedut air lebih banyak berbanding kenderaan sekarang yang mampu menyedut 28,000 meter padu air dalam tempoh sejam.


“Masih ada pergerakan tanah dan untuk memberi jaminan 100 peratus bahawa kejadian (mendapan tanah) tidak akan berlaku, adalah mustahil. Kami memantau dan melakukan kerja-kerja pembaikan dengan segera, sejak hari pertama lagi kami sudah bertindak, bukan kami tunggu lama-lama baru hendak baiki.

"Apa yang perlu saya jelaskan bahawa mendapan tersebut tidak perlu dibimbangi dan masih lagi tidak keluar daripada syarat yang ditetap badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Penerbangan Awam Antarabangsa (ICAO),” tegasnya ketika menjawab soalan pemberita semasa taklimat media berhubung perkembangan terkini klia2 di sini hari ini.

ICAO menetapkan landasan mestilah tidak mengalami pergerakan tanah melebihi 2.5 sentimeter manakala taxiway pula tidak melebihi tiga sentimeter.

Ketika ditanya apakah masalah yang melanda klia2 sudah dijangka dari awal, dengan tenang Badlisham menjawab “setiap perkara tidak sempurna, masih ingat lagi apabila KLIA (terminal utama) mula-mula beroperasi? Ia juga ada masalah tetapi selepas itu semuanya ok".

Setiap lapangan terbang ada masalah tersendiri malah ada yang terpaksa ditutup dan tidak boleh beroperasi. "Jika awak tanya saya mengapa klia2 dibenarkan beroperasi sedangkan berlaku masalah mendapan, apa yang saya boleh katakan ialah apabila ICAO mengesahkan lapangan terbang ini disahkan selamat dan berkelayakan oleh badan-badan bertauliah, itu sudah cukup.

"Jika mahu tunggu ia sempurna baru kita hendak guna, berapa lama kita kena tunggu?," ujarnya.

Biar pun bekerja keras cuba menjawab setiap soalan yang dilontarkan, Badlisham jelas sukar memberi jawapan secara objektif dan konkrit.

Beliau juga tidak mudah untuk menjelaskan bila masalah landasan, apron dan taxiways klia2 akan selesai serta tidak berulang pada masa akan depan atau sekurang-kurangnya pada lima tahun akan datang iaitu selepas kerja-kerja pembaikan jangka panjang selesai.

Badlisham juga tidak mahu menunding jari kepada kontraktor projek klia2 terutama sekali yang terlibat dengan kerja-kerja tanah.

Reaksi itu memang difahami kerana beliau tidak terlibat langsung di dalam pembinaan klia2 yang menelan kos sebanyak RM4 bilion.

Badlisham dilantik sebagai Pengarah Urusan MAHB pada 23 Jun lalu bagi menggantikan Tan Sri Bashir Ahmad yang tamat kontrak.

Biar pun tidak adil untuk mengasak Badlisham mengenai soalan berhubung isu-isu yang masih membelenggu klia2 dan masa depan lapangan terbang itu tetapi kepada siapa lagi setiap persoalan itu harus diajukan?

Andai bangunan klia2 boleh berbicara, sudah tentu kemusykilan banyak pihak tentang satu persatu masalah projek mega itu sudah terjawab!--MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.