`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Sunday, February 1, 2015

Belanja kahwin RM10,000 tidak mustahil, kata pasangan Melayu

Pasangan Nur Atiqah Jamaluddin dan Wan Hazme Danial bakal mendirikan rumah tangga bulan depan, dan berhasrat mengadakan kenduri kahwin yang serba sederhana. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Februari, 2015.Pasangan Nur Atiqah Jamaluddin dan Wan Hazme Danial bakal mendirikan rumah tangga bulan depan, dan berhasrat mengadakan kenduri kahwin yang serba sederhana. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 1 Februari, 2015.
Ramai merasakan mustahil bagi pasangan pengantin dalam masyarakat Melayu hari ini melangsungkan perkahwinan dengan belanja serendah RM10,000.
Namun, tinjauan The Malaysian Insider mendapati, ia tidak mustahil sekiranya majlis itu dirancang dengan rapi dan pengantin baru serta keluarga mengambil pendekatan bersederhana dan tidak berlebih-lebihan serta membazir.
Bagi pasangan Wan Hazme Danial dan Nur Atiqah Jamaluddin yang bakal melangsungkan perkahwinan mereka pada Mac, keseluruhan perbelanjaan mereka untuk majlis itu tidak sampai RM10,000.
"Bagi saya, ukur baju biar di badan sendiri. Bukan biar papa asal bergaya. Saya bersyukur buat masa ini belum ada saudara-mara atau jiran tetangga yang mempersoalkan persiapan perkahwinan kami dengan peruntukan yang rendah.
"Malah, mereka saling bantu-membantu untuk persiapan kahwin kami, dari segi makanan. Kami menjemput sekitar 400 orang tetamu, tetapi kami menganggarkan 700 orang yang akan datang," kata Atiqah ketika ditemubual The Malaysian Insider.
Hazme, 26, yang bekerja sebagai penolong jurujual itu berkata, beliau mengumpul wangnya sendiri tanpa pertolongan kedua ibu bapanya dan berhasrat mendirikan rumahtangga secepat mungkin kerana sudah mengenali bakal isterinya itu selama tiga tahun.
Atiqah yang juga seorang penolong jualan mengaku, beliau seorang yang sederhana dan hanya akan menggunakan pelamin mini dengan kos RM500 pada majlis itu nanti, serta melangsungkan akad nikah dan persandingan pada hari yang sama bagi menjimatkan kos.
"Saya memang mahukan majlis nikah dan sanding pada hari yang sama, dan kalau boleh tidak mahu bersanding kerana saya seorang yang pemalu. Dan kalau boleh, kad jemputan pun saya nak buat salinan sahaja sebab ia akan dibuang juga akhirnya," katanya.
Malah, Atiqah juga berkata mereka hanya akan memakai sepasang baju yang berharga kurang RM1,000 untuk majlis itu nanti yang akan diadakan di Kuala Lumpur.
Beliau juga memastikan pakaian pengantin yang dipilihnya itu boleh dipakai pada hari lain juga, bukan hanya sesuai untuk majlis pada hari istimewa itu sahaja.
Menyentuh mengenai jumlah RM10,000 itu, mereka berkata ia termasuk perbelanjaan makanan, pelamin, baju pengantin, kad jemputan, cenderamata buah tangan untuk tetamu, fotografi, solekan dan pengacara majlis.
"Bagi barang-barang 'door gift', kami hanya mencari di sekitar kawasan Kuala Lumpur seperti di Chow Kit," katanya yang memberitahu mereka memutuskan menyediakan tasbih sebagai cenderamata untuk tetamu.
Atiqah menambah, perbelanjaan mereka paling banyak dihabiskan untuk makanan, iaitu RM5,000, walaupun ia akan disediakan secara gotong-royong atau "rewang" sesama keluarga dan jiran tetangga.
Pasangan ini juga berpendapat simpanan mereka lebih baik digunakan selepas majlis perkahwinan di mana mereka perlu bijak merancang perbelanjaan dan menguruskan kewangan demi kesenangan bersama pada masa depan.
Atiqah berkata, mereka akan menyimpan wang untuk menunaikan umrah dan akan menggunakan simpanan yang ada bagi menjayakan rancangan mereka memulakan perusahaan "homestay" sendiri.
"Saya sudah ada sebuah rumah di Batang Kali yang dibeli pada awal perkenalan kami. Kami bercadang untuk menjadikannya 'homestay.' Bakal suami pula akan membeli rumah di sekitar Kuala Lumpur supaya dekat dengan tempat kerja," katanya.
Bagi pasangan Nordiana Nuzuin Akma Nordin dan suaminya Amir Azfar Aznan, yang juga melangsungkan perkahwinan mereka dengan perbelanjaan kurang RM10,000 pada Januari tahun lalu, sesebuah kenduri kahwin tidak perlu menelan belanja besar sekiranya perancangan dibuat sendiri dan tidak mengupah perancang perkahwinan.
Menurut Nordiana, 26, jika hendak berjimat, yang penting, pasangan pengantin perlu rajin membuat persiapan kahwin sendiri.
"Kami hanya mengambil masa empat bulan menyiapkan majlis tersebut. Kami menggunakan khidmat perancang perkahwinan hanya untuk pelamin mini," kata mereka.
Nordiana yang mesra dipanggil Awin berkata, banyak persiapan yang lain seperti kad jemputan, solekan, cenderamata dan baju pengantin disediakannya sendiri.
"Bagi saya, membuat persiapan sendiri lebih puas hati.
"Contohnya seperti 'door gift', kami menyediakan sejadah mini untuk tetamu beragama Islam dan tuala kecil untuk yang bukan Islam.
"Semuanya kami cari di sekitar Kuala Lumpur, cuma pasangan perlu rajin 'survey'," kata Awin.
Beliau dan pasangannya juga mengadakan majlis jamuan dan akad nikah serentak pada hari sama, supaya majlis itu memakan belanja yang rendah.
Ditanya kenapa mereka mahukan majlis perkahwinan pada bajet yang rendah ketika ramai yang memilih mengadakan majlis gilang gemilang bagi upacara yang dikatakan hanya "sekali seumur hidup" itu, Awin menjelaskan mereka tidak mahu berbelanja di luar kemampuan dan merana di kemudian hari.
"Kami berdua cuba seboleh-bolehnya untuk tidak berhutang dengan meminjam dari bank (untuk belanja majlis perkahwinan) dan sebagainya.
"Ini kerana, antaranya, selepas menamatkan pengajian, saya perlu membayar balik pinjaman yang diperolehi dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN). Kami memilih untuk menumpukan kepada apa yang wajib sahaja," kata Awin yang memiliki ijazah sarjana muda kewartawanan.
Bagi mengumpul wang perbelanjaan perkahwinan, beliau melakukan kerja sambilan sebagai pereka grafik.
Pada masa sama, suaminya yang bekerja sebagai pegawai pentadbir juga membantu dari segi kewangan pada ketika itu.
"Memang ramai yang persoalkan bajet kami yang rendah ini, terutamanya sesetengah jiran di kawasan perumahan kami. Ada yang menuduh saya mengandung sebelum kahwin, ada juga yang mengatakan baju kahwin saya tak cantik seperti pengantin," katanya yang memberitahu pakaian pengantinnya dijahit sendiri ibunya.
Amir, 25, memberitahu The Malaysian Insider, selain mengeluarkan RM10,000 sebagai wang hantaran untuk isterinya, perbelanjaan majlis perkahwinan di sebelah pihak lelaki ditanggung keluarganya.
Awin memberitahu walaupun mereka menggunakan khidmat katering bagi majlis perkahwinan itu, sanak saudara dan jiran tetanggu turut membantu menjayakan majlis "raja sehari" mereka yang dihadiri kira-kira 800 tetamu.
"Bagi saya, ketika melakukan persiapan itulah waktu mengeratkan silaturrahim sesama keluarga, jiran dan rakan-rakan," katanya.
Beliau menasihatkan pasangan yang ingin mendirikan rumahtangga supaya berbelanja  mengikut kemampuan dan tidak mengendahkan cemuhan atau kutukan tidak berasas dibuat masyarakat sekitar.
- TMI

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.