Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor akan mengadakan majlis kenduri kahwin anak perempuan sulung mereka, Nooryana Najwa pada penghujung Mac depan.
Beberapa majlis diatur iaitu untuk tetamu diraja, jemputan luar negara, pemimpin kerajaan, korporat, pemimpin dan ahli Umno serta pengundi di Pekan.
Tetapi kira-kira sebulan sebelum majlis itu berlangsung, perbualan ramai mengenai kekayaan dan sumber kewangan perdana menteri semakin menjadi perbualan, bukan saja dalam negara bahkan sudah merebak seantero dunia.
Ia tidak lagi mengenai kos cat rambut (sebagaimana yang disebut Rosmah walaupun istilah yang sebenarnya ialah mewarnakan rambut) atau upah menempah baju, pemilikan barang kemas, beg tangan atau pembelian hartanah mewah di Amerika Syarikat (AS), tetapi kini turut berjangkit kepada isu harta peninggalan allahyarham Tun Razak, bekas perdana menteri kedua yang juga merupakan bapa Najib.
Berikutan jawapan Pejabat Perdana Menteri atau PMO kepada New York Times kekayaan dan perbelanjaan mewah Rosmah sebagaimana yang dihebohkan dalam pelbagai media, sebahagiannya merupakan harta pusaka bapanya, keempat-empat adik Najib lantas mengeluarkan kenyataan bersama menolak tanggapan tersebut.
Keempat-empat adik Najib secara jelas menyatakan bapa mereka terkenal dengan sifat jimat cermat dan integriti yang tinggi serta melahirkan rasa bimbang mengenai spekulasi harta peninggalan itu.
Jika difahami kenyataan bersama empat adik Najib itu jelas tertumpu kepada semakin meningkatnya pelbagai pendedahan mengenai kemewahan dan gaya hidup yang diamalkan kakak ipar mereka, Rosmah.
Ini kerana yang ternampak bermewah bukan Najib dan anak-anaknya tetapi lebih melibatkan Rosmah dengan anaknya bersama suami terdahulu, Reza Aziz yang merupakan anak tiri perdana menteri.
Sebaliknya anak Najib, sama ada daripada perkahwinan terdahulu atau dengan Rosmah, tidak pula kedengaran mengamalkan gaya hidup mewah dan memiliki hartanah yang mahal-mahal.
Sudah tentu jika segala kemewahan itu dikaitkan dengan harta peninggalan Tun Razak, ia bakal mencemarkan nama baik bekas perdana menteri yang juga dikenali dengan Bapa Pembangunan itu.
Jika sebelum ini gaya hidup dan kemewahan Rosmah sudah banyak membimbangkan ramai pemimpin Umno di peringkat akar umbi dengan mengatakan seolah-olah mereka ada tugas tambahan untuk mempertahan dan membela isteri perdana menteri pula, kini jelas adik-beradik Najib semakin dibasahi tempiasnya.
Sebelum itu juga rakyat pelbagai lapisan sudah banyak bercakap mengenai kemewahan dan gaya hidup Rosmah berikutan terdedahnya di media satu demi satu mengenai pemilikan atau pembelian barangan mewahnya itu.
Dengan rekod pernah menolak pembinaan kolam renang untuk kegunaan anak-anaknya menggunakan duit kerajaan di Seri Taman atas alasan berjimat cermat dan tidak mahu menyalahgunakan wang kerajaan, apa yang didedahkan melalui pelbagai kemewahan melibatkan Rosmah dan Reza ini secara tidak langsung mampu "membunuh" semua legasi baik Tun Razak dan berlawanan sekali dengan keperibadiannya sebenar yang memang menjadi pengetahuan umum selama ini.
Dan menjelang majlis perkahwinan anak perempuan Najib dan Rosmah nanti, pastilah sekali lagi isu perbelanjaan dan kemewahan akan berbangkit kembali. Di sana sini ketika ini sudah mula kedengaran sosek-sosek tentang jamuan, perhiasan, cenderahati kepada tetamu, pertukaran langsir, karpet, rombongan ke Kazakhstan dan sebagainya yang melibatkan majlis tersebut.
Sekali lagi, segala kemewahan ini lebih dikaitkan dengan kehendak Rosmah berbanding dengan keinginan anaknya sendiri yang melangsungkan perkahwinan itu.
Apakah jika segala kemewahan itu terdedah nanti, PMO sekali lagi mengaitkannya sebagai perbelanjaan peribadi Najib yang sebahagiannya datang daripada harta pusaka Tun Razak juga?
Sama ada hubungan Najib dengan adik-beradiknya mulai retak atau tidak disebabkan elemen kemewahan yang tidak terkawal ini, hakikatnya kebimbangan mengenai subjek Rosmah sudah semakin meluas ketika ini.
Dalam erti kata lain, kesusahan yang diakibatkan "First Lady" ini semakin dirasai dan mula menyentap hati ramai orang. – shahbudindotcom.blogspot.com
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.