`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, May 12, 2017

BOLA KINI DI KAKI AZMIN

DARI SUDUT LAIN
Walaupun Menteri Besar Selangor, Dato Seri Azmin Ali tidak memiliki kuasa mutlak untuk memecat PAS keluar dari kerajaan Selangor, tetapi peranan yang ada pada beliau tetap tidak boleh dinafikan. Sebagai seorang MB, beliau memiliki kuasa yang paling besar dalam pentadbiran negeri Selangor selepas sultan. Sudah tentu banyak tindakan-tindakan politik yang boleh mempengaruhi atau menekan pihak-pihak tertentu.
Sebagai contoh, walaupun MB tidak berhak untuk memecat exco yang dilantik oleh sultan, tetapi mana-mana lantikan yang berada di bawah kuasa eksekutif, Menteri Besar boleh berbuat demikian seperti ahli majlis perbandaran, JKKK dan seumpamanya.
Keputusan PAS untuk memutuskan hubungan dengan PKR sudah muktamad. Tidak ada apa tanda lagi yang menunjukkan parti tersebut masih ingin bergabung bersama PKR. Keputusan pentadbiran yang dibuat oleh Muktamar PAS yang lalu, secara rasmi telah diperakukan oleh Majlis Syura Ulama (MSU).
MB sudah menyatakan hasratnya untuk mengekalkan PAS dalam pentadbiran Kerajaan Negeri, manakala Exco daripada DAP pula tiada apa-apa bantahan. Tetapi rakan-rakan dalam PH termasuk pemimpin PKR yang tidak sehaluan dengan Azmin telah mendesak beliau mengeluarkan PAS dari kerajaan Selangor.
Kini bola berada di kaki Azmin. Terpulang kepada beliau bagaimana untuk menentukan nasib kerajaan Selangor. Samada dia masih ingin mengekalkan status-quo PAS di Selangor, ataupun mengambil tindakan politik membuang mana-mana ahli PAS lantikan politik yang ada dalam kerajaan. Jika Azmin memilih untuk kestabilan negeri, maka beliau seharusnya tidak bertindak negatif terhadap PAS. Jika beliau bertindak, besar kemungkinan PAS akan bertindak balas menarik balik sokongan dan kepercayaan mereka kepada MB.
Sekiranya PAS menarik balik sokongan, maka sokongan kepada beliau sebagai MB akan terjejas, tinggal hanya 29 ADUN. Dengan majoriti di DUN yang sangat tipis ini, beliau boleh tumbang bila-bila masa sepertimana di Perak sebelum ini. Ramai maklum bahawa kekuatan Azmin untuk menjadi MB banyak bertongkatkan sokongan PAS. Mengikut rancangan Langkah Kajang, sepatutnya yang menjadi MB adalah Dato Seri Wan Azizah tetapi PAS telah mencadangkan nama Azmin dan sultan menerimanya. Maka tanpa sokongan PAS, takhta beliau benar-benar rapuh.
Tanpa PAS dalam kerajaan, sudah tentu yang akan masuk mengisi kekosongan adalah rakan-rakan PH daripada DAP dan PAN. Semua mereka bersaing untuk merebut jawatan MB terutama dari pemimpin-pemimpin PKR sendiri. Jika benar sekalipun beliau dapat kekal sebagai MB sehingga PRU14, masa depannya untuk menerajui Selangor selepas itu amatlah kabur.
Sekiranya Azmin mengekalkan PAS pula, ada kemungkinan ADUN-ADUN PH hilang kepercayaan kepada beliau, dan ia tambah membahayakan kedudukannya sebagai MB. Beliau boleh jatuh hanya dengan undi tidak percaya sahaja.
Jika beliau sudah menghidu perkara ini, beliau mempunyai pilihan untuk meminta Sultan membubarkan DUN lebih awal daripada Kerajaan Pusat. Mungkin cara ini boleh menjamin kedudukan beliau dari dicantas oleh rakan-rakan seperjuangannya sendiri.
Tetapi perlu diingat, bahawa permohonan beliau untuk membubarkan DUN tidak semestinya diterima oleh Sultan. Perkara sebegini pernah berlaku dalam peristiwa Kudeta di Perak tahun 2009 apabila Sultan tidak memperkenan cadangan pembubaran daripada MB Perak, Dato seri Nizar Jamaludin, sebaliknya melantik MB baharu setelah Baginda berpuashati dengan sokongan majoriti ADUN-ADUN yang mengadap Baginda.
Malah menurut pakar-pakar perundangan, Sultan juga boleh melantik MB dengan mengenepikan peruntukan-peruntukan dalam Undang-undang Tubuh Negeri sekiranya pada budi bicara Baginda ia diperlukan untuk melancarkan pentadbiran negeri. Kemungkinan situasi ini berlaku tidak boleh diabaikan, memandangkan tempoh PRU14 sudah terlalu hampir kini.
Walaubagaimanapun, sebenarnya masih ada cara untuk Azmin kekal sebagai MB. Beliau boleh sahaja berpakat dengan UMNO untuk mendapatkan sokongan dan dalam waktu yang sama mengekalkan sokongan PAS terhadapnya. Dengan sokongan dari UMNO dan PAS, Azmin boleh mengekalkan jawatannya sehingga habis penggal. Beliau hanya perlu mempengaruhi 3 orang sahaja ADUN lain samada dari PKR, DAP atau PAN untuk terus mengekalkan sokongan majoriti. Malah sekiranya 2 ADUN bebas turut menyokong Azmin, beliau hanya memerlukan hanya seorang ADUN sahaja. Sudah tentu, Setiausaha Politik beliau yang juga seorang ADUN akan menyokong Azmin.
Oleh sebab itu, bola benar-benar berada di kaki Azmin. Terpulang samada beliau ingin terus menendang ke gawang gol atau tidak. Dan ke gawang mana yang ingin beliau jaringkan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.