`

THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!
Image result for selamat berpuasa

Monday, May 29, 2017

Muslim korup dan bukan Islam, siapa lebih baik?

Bukan sahaja sempit dan songsang serta tidak logik, pandangan Muslim korup lebih baik bertentangan dengan syarak dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah.
KOMEN
muslim

Oleh Rozhan Othman
Kebencian boleh menjadi satu fenomena kolektif bila ia dipupuk melalui kepercayaan atau ideologi yang dianuti ramai orang. Apabila ini berlaku, mudahlah golongan itu melakukan tindakan ganas terhadap mereka yang menjadi sasaran kebencian mereka.
Inilah yang berlaku di Jerman di bawah pemerintahan Hitler. Ini juga fenomena yang membolehkan golongan Zionis mengusir dan menindas orang Palestin.
Demikian juga ketika perang di Bosnia Herzegovina. Kebencian kolektif membolehkan askar Serbia membunuh umat Islam Bosnia secara beramai-ramai.
Bibit-bibit fenomena kebencian secara kolektif turut dapat kita lihat di Malaysia.
Ada golongan yang mencanang kebencian untuk menjustifikasi tindakan mereka bercumbuan dengan kelompok yang sebelum ini musuh mereka. Mereka menjadikan “ancaman” golongan bukan Islam sebagai rasional tindakan mereka.
Di antara hujah yang digunakan ialah bahawa Muslim yang korup adalah lebih baik dari orang bukan Islam. Orang Islam dikatakan perlu bersatu sesama Islam walaupun ini bererti menyokong umat Islam yang korup. Secara tidak langsung, ia menjadikan golongan bukan Islam sebagai objek permusuhan.
Apa kata syarak
Adalah wajar sikap ini diteliti daripada kacamata syarak. Adakah benar orang Islam yang korup patut disokong? Dan adakah benar semua orang bukan Islam memusuhi Islam?
Pertama, berkelakuan korup adalah sebahagian daripada fasad yang dibenci Islam. Melakukan fasad ialah lawan kepada islah atau kebaikan dan kebajikan yang dianjurkan Islam.
Terdapat banyak hadis yang mengecam pemimpin yang fasad. Di antaranya:
Abu Ja’la (Ma’qil) bin Jasar r.a berkata: “Saya telah mendengar Rasulullah bersabda: ‘Tiada seorang yang diamanahkan oleh Allah memimpin rakyat kemudian ketika ia mati ia masih menipu rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya syurga’.” (Bukhari dan Muslim)
Dalam sebuah lagi hadis, Rasulullah bersabda: “Ada 2 golongan manusia, bila mereka baik manusia menjadi baik, bila mereka rosak manusia menjadi rosak: mereka adalah ulama dan umara (pemerintah).” (Abu Na’im dalam al-Hulyah).
Abdullah ibn Mubarak juga menyebut: “Golongan yang berkuasa terdiri dari 2 golongan, itu, umara (pemerintah) dan ulama. Bila mereka saleh, manusia akan menjadi saleh. Bila mereka fasad, manusia akan menjadi fasad.”
Daripada dalil di atas, kefasadan bukanlah suatu yang dipandang ringan dalam Islam. Sebaliknya, ia dilihat sebagai satu yang akan membawa kepada kemusnahan yang lebih besar pada ummah.
Dalil di atas juga menunjukkan golongan ulama juga boleh menjadi fasad. Bila kedua-duanya golongan itu iaitu pemimpin dan ulama itu fasad, maka akan musnahlah umat.
Melayu dan tali barut British
Sejarah Tanah Melayu sendiri menunjukkan bagaimana tanah air mudah digadai dan jatuh kepada penjajah apabila pemimpin fasad. Kemasukan British di Perak adalah di atas jemputan pemimpin-pemimpin Melayu sendiri.
Pemimpin Melayu ini mementingkan kedudukan mereka dan sanggup membawa masuk kuasa asing untuk menjamin kedudukan mereka. British tidak perlu membawa angkatan tentera yang besar untuk memasuki Tanah Melayu.
Demikian juga, di antara sebab tercetusnya Perang Saudara Selangor (1867-1874) ialah apabila pemimpin Melayu di Klang memberi hak mengutip cukai kepada 2 orang saudagar Negeri-Negeri Selat, iaitu, W.H. Read dan Tan Kim Cheng (orang asing).
Ini menimbulkan kemarahan pemimpin Melayu lain dan akhirnya mencetuskan perang saudara.
Ketika Perang Naning pula, tentera British ditewaskan oleh orang Naning pada Perang Naning Pertama (1831). Namun, ketika British melancarkan Perang Naning Kedua (1832), mereka mendapatkan sokongan orang Rembau yang diketuai Syed Shaaban. Naning akhirnya tewas selepas digempur tentera sekutu Rembau-British.
Peristiwa di atas menunjukkan, apabila orang Islam dipimpin oleh pemimpin yang tidak beramanah, mementingkan diri dan kedudukan sendiri, dan bersifat fasad, ia akan membawa kepada malapetaka yang lebih besar.
Malah pemimpin sebeginilah yang akhirnya menggadaikan ummat dan kedaulatan tanah air kepada musuh dari luar.
Sejarah Tanah Melayu berkali-kali menunjukkan pemimpin yang fasad akhirnya menyebabkan malapetaka yang lebih besar.
Pandangan bahawa “Muslim yang korup lebih baik daripada bukan Islam” mengandaikan semua orang bukan Islam adalah sama.
Pandangan Nabi tentang bukan Islam
Namun, sikap ini amat bertentangan dengan ajaran Al-Quran dan amalan Rasulullah.
Al-Quran jelas menyebut golongan ahli kitab (Kristian dan Yahudi) itu lebih hampir kepada Islam. Inilah sebabnya Rasulullah telah mengarahkan sebahagian dari sahabat berhijrah ke Habsyah yang dipimpin oleh seorang raja Kristian untuk mendapatkan perlindungan.
Ketika Rasulullah berhijrah ke Madinah, baginda mengupah Abdullah ibn Urayqit, seorang bukan Islam, sebagai malim untuk membawa baginda dan Abu Bakr ke Madinah.
Hijrah merupakan saat yang getir pada Rasulullah. Baginda diburu oleh orang Quraisy yang berazam untuk membunuh beliau.
Nyata di sini, Rasulullah menganggap terdapat kalangan orang bukan Islam yang amanah dan boleh dipercayai.
Sekiranya baginda menganggap semua orang bukan Islam sebagai jahat dan tidak boleh dipercayai, sudah tentu baginda tidak akan meminta Abdullah ibn Urayqit bertindak sebagai malim dalam perjalanannya.
Demikian juga, hadis mengiktiraf terdapat sifat baik pada orang bukan Islam.
Dalam sebuah hadis, Nabi menyebut, “Yang terbaik di kalangan kamu semasa jahiliyyah adalah yang terbaik dikalangan kamu semasa Islam” (Riwayat Muslim).
Suatu kepincangan yang terdapat pada pandangan bahawa “Muslim yang korup lebih baik daripada bukan Islam” ialah ia mendikotomikan sikap yang harus kita pegang.
Ia menyempitkan pilihan kita kepada sama ada menerima Muslim yang korup atau dikuasai oleh bukan Islam yang memusuhi Islam. Ini adalah pandangan yang sempit dan songsang serta tidak logikal. Ia juga sangat bertentangan dengan syarak dan contoh yang ditunjukkan oleh Rasulullah.
Madinah di bawah Nabi
Contoh kepimpinan Rasullah di Madinah jelas menunjukkan sikap yang adil serta inklusif serta menggambarkan sifat Islam sebagai rahmat kepada seluruh alam dan menekankan islah dan pembinaan sifat saleh.
Golongan bukan Islam di Madinah, iaitu Yahudi, Kristian dan penyembah berhala, diberi hak dan perlindungan yang sama.
Rasulullah boleh saja menggunakan kedudukan baginda untuk menindas golongan bukan Islam di Madinah. Baginda boleh saja mencetus kebencian terhadap mereka dan seterusnya mengusir mereka.
Namun, itu tidak berlaku kerana ia bukanlah jalan islah, rahmah dan berhikmah yang dikehendaki Islam.
Malah Rasulullah menandatangani piagam Madinah meminta semua warga Madinah untuk sama-sama membangun dan mempertahankan Madinah. Hanya suku-suku Yahudi yang mengkhianati Madinah setelah memungkiri piagam Madianah ketika perang Khandaq yang diusir dari Madinah.
Hubungan di antara umat Islam di Madinah dan golongan bukan Islam di Madinah berjalan sangat baik. Dengan itu juga menarik ramai orang bukan Islam untuk mengenali Islam dan akhirnya ramai yang memeluk agama Islam.
Malah terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan golongan Islam dan bukan Islam saling mengundang di antara mereka ke majlis jamuan.
Rasulullah sendiri mempunyai hubungan yang rapat dengan seorang pemuda Yahudi. Baginda mengambilnya bekerja sebagai pembantu untuk tugas-tugas di rumah baginda.
Ketika Perang Khandaq, semua penduduk Madinah, Islam dan bukan Islam, kecuali suku Yahudi Bani Qurayzah, sama-sama mempertahankan Madinah daripada serangan tentera bersekutu yang dipimpin Quraisy. Inilah sifat masyarakat Islam yang dibina Rasulullah.
Ulama fasad
Selain mengecam pemimpin yang fasad, Islam juga menolak ulama yang fasad. Bila ulama mengiyakan pemimpin yang fasad, mereka telah sama-sama terjerumus dalam kefasadan.
Rasulullah memberi amaran dalam sebuah hadis: “Akan terdapat para pemerintah yang fasik dan zalim. Maka sesiapa yang mengiyakan pendustaan mereka itu dan menolong mereka melakukan kezaliman dia bukanlah dari kalanganku.” (Ahmad, al-Nasa’i dan al-Tirmizi).
Pandangan bahawa Muslim yang korup lebih baik daripada bukan Islam merbahaya dan menyimpang daripada ajaran Islam. Ia juga merbahaya kerana ia mempergunakan Islam untuk tujuan muslihat politik.
Adalah salah dan menyeleweng menggunakan Islam untuk menjustifkasi tindakan para agamawan bersekongkol bersama pemimpin yang korup dan fasad. Pandangan ini juga memberi gambaran seolah Islam dan bukan Islam tidak boleh bersama secara harmoni.
Apatah lagi bila pandangan ini digunakan secara selektif untuk menjembalangkan golongan bukan Islam tertentu yang dilihat sebagai saingan politik sahaja.
* Dr Rozhan Othman seorang pembaca FMT.

No comments:

Post a Comment