`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Monday, May 15, 2017

Cara Atasi Masalah Adun Pas Selangor

Image result for exco PAS di Selangor

A Kadir Jasin


MAAF cakaplah kalau saya kata, sama ada Menteri Besar Selangor (Datuk Seri) Mohd Azmin Ali arah atau tidak, gesa atau tidak, kedudukan tiga orang Ahli Majlis Kerja (Exco) Pas dalam kerajaan Selangor susah untuk dipertahankan tetapi jalan keluarnya ada.

Tiga orang itu - (Datuk) Iskandar Samad, (Datuk) Dr Ahmad Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib – tidak lagi layak menduduki Exco kerajaan negeri. Termasuk mereka, Pas ada 13 ahli dalam Dewan Undangan Selangor setelah dua keluar untuk menyertai Amanah.

Macam mana mereka hendak terus isi jawatan itu sedangkan parti mereka secara sahih dan lantang membatalkan tahaluf siyasi dengan PKR?

Mula-mula mari kita fahami asas penyertaan Pas dalam kerajaan Selangor. Ia adalah hasil tahaluf siyasi di antara Pas dengan PKR setelah Pas pecah berikutan pemilihan tahun 2014.

Sebahagian besar pemimpin Pas bukan agama yang kalah pemilihan itu keluar untuk menubuhkan Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas menamatkan kerjasama dengan DAP tetapi mengekalkan kerjasama dengan PKR. Serentak itu Pas mula bermanja-manja dengan Umno.

Pas pecah kerana perwakilan yang dipengaruhi oleh golongan agama (saya tak berani guna gelaran ulama) menendang keluar semua pemimpin yang bukan daripada aliran agama.

Hakikatnya pemimpin bukan tuan guru dan tok lebai inilah yang menolong memberikan imej terbuka kepada Pas dan dengan imej itu Pas berjaya menarik orang Melayu bandar dan terpelajar untuk menyokongnya.


Tetapi kematian Almarhum Tok Guru (Datuk Seri) Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12 Februari 2015 membawa bersamanya sifat dan sikap positif dalam Pas seperti keyakinan diri, keterbukaan dan keterangkuman.

Sekali gus ia menyukarkan kerjasama Pas dengan parti-parti Pakatan Rakyat. Ini menjadi bertambah rumit berikutan pemenjaraan (Datuk Seri) Anwar Ibrahim pada tahun yang sama.

Abdul Hadi Awang

Di bawah kepemimpinan Tuan Guru (Datuk Seri) Haji Abdul Hadi Awang Pas menjadi tertutup, kurang keyakinan, bercelaru dan amarah. Bagi saya ini adalah manifestasi sifat dan sikap Abdul Hadi sendiri.

Kalau kita dalami, tidaklah ada apa-apa yang luar biasa atau “magical” dengan tahaluf siyasi kecuali ia adalah dalam bahasa Arab. Dalam bahasa kita, ertinya kerjasama politik.

Pada akhir-akhir ini Pas suka menggunakan istilah bahasa Arab. Umno pun sudah terikut-ikut. Kita pun tahu sebabnya. Orang Melayu hari ini mudah terpengaruh dengan segala sesuatu yang berciri Arab akibat proses pengaraban orang Melayu.

Maaf cakaplah kalau saya kata, banyak orang Melayu nak jadi Arab walaupun Dunia Arab makin hari makin kacau-bilau, berperang sesama sendiri dan mundur.

Kerana kurang keyakinan diri, Abdul Hadi mengelilingi dirinya dengan orang daripada jenis yang dia rasa selesa iaitu golongan agama yang mengangguk.

Di luar Pas pula, dia hanya akrab dengan Perdana Menteri dan Presiden Umno, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak.

Itu pun kata orang, bukan kerana dia kenali dan percayakan Mohd Najib secara mendalam tetapi khabarnya kerana Mohd Najib telah berjasa kepadanya.

Ikut cerita, kemesraan itu terjalin apabila Abdul Hadi jatuh sakit ketika dalam lawatan ke Turki pada tahun 2014. Khabarnya kerajaan pusat menghulurkan bantuan.

Sejak itu Abdul Hadi menjadi saudara kembar politik Mohd Najib. Mereka hadir bersama di banyak majlis berbentuk agama. Malah ada masa berbaju Melayu sewarna.

Najib (kiri) dan Abdul Hadi saudara kembar politik
Memang daripada aspek apa pun mereka nampak sehati sejiwa, hidup mati bersama. Maka tidak hairanlah timbul dakwaan dan tuduhan bahawa Pas atau wakilnya telah menerima sejumlah wang yang besar daripada Umno dan akan berpakat dengan Umno dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pas membantah keras dakwaan itu dan sedang mengambil tindakan saman malu terhadap portal berita  Sarawak Report di London. Portal berita itu mendakwa Pas menerima derma RM90 juta daripada Umno.

Tetapi gaya hidup mewah sesetengah pemimpin agama Pas menyebabkan banyak orang percaya bahawa Pas memang ada sumber pendapatan baru yang lumayan.

Mustahil pemimpin Pas mampu mengamalkan gaya hidup mewah dengan kereta Audi Q7 yang harga barunya RM590,000 kalau mengharapkan kutipan derma daripada ahli ketika ceramah dan muktamar.

Pas Selangor

Berbalik kepada Adun Pas dalam DUN Selangor, mereka tidak ada pilihan melainkan berpisah daripada PKR kerana itulah implikasi pembatalan tahaluf siyasi dengan PKR.

Tapi mereka hendak kekal juga sebagai rakan PKR dan duduk dalam Exco.

Jadi caranya adalah dengan keluar Pas dan menjadi Adun bebas.

Atau lagi bagus kalau mereka menyertai mana-mana parti Pakatan Harapan dalam kerajaan Selangor. Mereka boleh sertai PKR atau mereka boleh ikut rakan-rakan mereka yang telah menyertai Amanah.

Satu lagi kemungkinan – walaupun kecil – adalah mereka mengisytiharkan Pas Selangor sebagai bebas daripada Pas pusat macam telah berlaku kepada Parti Kongres India yang ada Kongres pusat dan Kongres negeri.

Azmin telah pun membuka jalan ke arah itu apabila beliau dilaporkan berkata Pas masih boleh kekal sebagai sebahagian daripada kerajaan negeri selaras dengan mandat yang dimenanginya dalam PRU 2013.

Wallahuaklam.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.