`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 16, 2017

DILEMA AZMIN

Muktamar PAS memutuskan kerjasama politik (tahaluf siyasi) dengan parti sekutunya PKR.
Ini disusuli dengan keputusan sama oleh Majlis Syura PAS yang kemudian dikembalikan kepada anggota jawatankuasa pusatnya untuk menentukan sikap dalam gabungan kerajaan negeri Selangor.
Ia kemudian menimbulkan polemik di kalangan masyarakat dan pemerhati politik tanah air.
Hujah daripada pelbagai sudut mencerminkan bagaimana sesebuah kerajaan boleh dibentuk, diselamatkan, ditukar menteri besar, dipecat exco, dan bermacam-macam lagi kemungkinan, dengan hanya disebabkan pendirian dan keputusan pimpinan sesebuah parti.
Di Selangor, perkembangan ini membawa implikasi paling besar. Berikut merupakan kedudukan dan bilangan kerusi yang mewakili setiap parti di Selangor:
  • PAS: 13 kerusi (semua Melayu)
  • PKR: 13 kerusi (10 Melayu, 3 bukan Melayu)
  • Parti Amanah Negara (AMANAH): 2 kerusi (semua Melayu)
  • DAP: 14 kerusi (semua bukan Melayu)
  • BN: 12 ( semua Melayu, seorang meninggal dunia)
  • BEBAS: 2 (1 Melayu, 1 bukan Melayu)
Kedudukan semasa menyaksikan gabungan Pakatan Harapan-PAS mempunyai 32 kerusi.
Sekiranya PAS keluar daripada kerajaan dengan peletakan jawatan tiga exco dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan timbalan speaker bersama ADUN yang lain, bermakna Azmin Ali mempunyai 29 kerusi termasuk dirinya.
Pembangkang negeri yang terdiri daripada BN dan PAS mempunyai 25 kerusi. Dengan mengandaikan Tan Sri Khalid Ibrahim condong kepada PAS, pembangkang mempunyai 26 kerusi.
Kedudukan kerajaan dan pembangkang mungkin seperti berikut:
  • HARAPAN: 29 kerusi ( 12 Melayu, 17 bukan Melayu)
  • PAS-BN: + Khalid: 26 kerusi (26 Melayu)
  • Bebas: 1 (bukan Melayu)
Kedudukan bilangan anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) sebegini walaupun sah dari sudut perlembagaan untuk membolehkan kerajaan dibentuk, tetapi akan memberi kelebihan kepada BN untuk membuat berbagai-bagai serangan dan persepsi berunsur perkauman dan agama.
Peluang ini terbuka apabila apabila bilangan ADUN Melayu kurang daripada bukan Melayu.
Pengalaman ini berdasarkan senario di Perak pada tahun 2008 pilihan raya umum ke-12 apabila kerajaan negeri Pakatan Rakyat ketika itu diserang habis-habisan.
Nizar Jamaluddin sebagai menteri besar dituduh boneka DAP akibat kedudukan bilangan ADUN yang tidak seimbang dalam Pakatan.
Ketika itu Pakatan mendapat majoriti 31 kerusi – DAP 18, PAS (6) dan PKR (7 – 3 Melayu 4 bukan Melayu), menjadikan bilangan ADUN Melayu sebanyak 9 dan bukan Melayu 22 orang.
Setelah Perak digoncang
Ketidakseimbangan inilah menjadi modal besar BN melemparkan pelbagai tohmahan bagi menggoncang kerajaan negeri Perak ketika itu.
Akhirnya hasil kerja keras BN memancing ADUN Pakatan, Behrang dan Changkat Jering berpaling tadah melompat parti menjadi bebas tetapi menyokong BN.
Ini disusuli dengan Jelapang dari DAP yang mengisytiharkan sebagai ADUN bebas. BN kemudian mengambil alih sebagai kerajaan di Perak.
Selain itu, situasi ini juga akan memudahkan kerja seorang ahli akademik membuat karangan panjang memberi gambaran negatif sehingga mungkin kepada tajuk postingnya “Hannah Yeoh berjaya mengkristiankan kerajaan negeri Selangor”.
Mesyuarat exco
Sekiranya dilihat pelantikan baru anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, satu lagi perdebatan akan berlaku untuk menentukan tiga kerusi exco dan timbalan speaker yang sebelum ini diberi kepada PAS.
Oleh kerana ada empat kekosongan, maka jawatan tersebut boleh diagih secara adil dengan memberi dua kepada PKR dan dua kepada DAP.
AMANAH? Jika melihat kepada nisbah bilangan kerusi, mereka mungkin segan juga untuk minta jawatan exco, namun sekiranya HARAPAN benar-benar sebuah gabungan setiakawan, mungkin satu kerusi exco atau timbalan speaker diberikan kepada mereka.
Akan terlihatlah sejauh mana perkongsian kuasa dan setiakawan itu ditunjukkan.
Ini belum dikira lagi jawatan-jawatan lain seperti dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang lebih merumitkan.
Apapun, ia sememangnya membuang banyak masa yang sepatutnya digunakan untuk merancakkan pembangunan negeri yang kaya itu.
Saya kira mungkin ramai rakyat Selangor yang perlu menggunakan Kad Peduli Sihat untuk mengambil paracetamol selepas melihat situasi di negeri Selangor ini.
Tetapi kerana politik, semua itu adalah bahan api untuk enjin mereka terus hidup. Inilah yang memeningkan rakyat di bawah, sehinggakan kita keliru sama ada ini maslahah atau masalah.
Maka saya melihat apa yang disuarakan oleh Datuk Iskandar Samad bekas, pesuruhjaya PAS Selangor sebelum ini bahawa beliau secara peribadi berat hati untuk memutuskan hubungan dengan PKR ada asasnya.
Beliau juga memberikan alasan bimbang AMANAH menggantikan tempat PAS dalam pentadbiran Selangor. Ini menurut presiden PAS, perkara bersifat andaian dan tidak semestinya berlaku.
Saya melihat, senario analisis yang ditimbulkan Dr Zuhdi Marzuki ketika krisis menteri besar beberapa tahun lalu walaupun tidak berlaku pada ketika itu.
Proses ke arahnya seakan-akan sedang berjalan dan mungkin perlu ditinjau semula semua ADUNdalam HARAPAN supaya krisis Perak tidak berulang, yang secara kebetulan melibatkan Behrang, tempat asal Zuhdi dan Jamaludin Radzi.
MOHD AZHAR ABD RAHMAN setiausaha Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Tanjung Malim.
– M’kini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.