`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, May 18, 2017

SAYA PUKUL PELAJAR KERANA DIA AGRESIF, KATA GURU TAHFIZ

SEORANG warden dan guru sekolah tahfiz di Shah Alam yang didakwa memukul pelajar tingkatan satu hingga cedera di rusuk dan lengan berkata beliau terpaksa berbuat demikian kerana pelajar terbabit bertindak agresif.
Muhd Muzamil Muzakir Kahamuzaka, 21, yang baru saja tiga minggu bertugas di Darul Tahfiz Ummul Qura berkata insiden berlaku apabila pelajar berkenaan tidak berpuas hati didenda kerana datang lewat ke surau.
Katanya, pada malam kejadian pelajar terbabit memberitahu pelajar lain dia hendak memukulnya.
“Dia (pelajar) cabar saya ajak gaduh. Saya rotan dia di lengan. Kemudian dia cuba bertindak agresif dan saya terpaksa menumbuknya atas mata tiga kali, dua kali di pipi dan saya cuba jatuhkannya,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Pengetua sekolah itu, Abd Rasul Rahman bagaimanapun berkata guru tidak dibenarkan mengambil tindakan seperti itu walaupun pelajar melakukan kesalahan.
“Kami tidak membenarkan mana-mana ustaz di sini memukul pelajar seperti itu kerana apa-apa tindakan perlu dirujuk kepada mudir (pengetua sekolah),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Rasul berkata pihaknya akan menunggu keputusan siasatan pihak polis terlebih dulu sebelum mengambil tindakan memberhentikan Muzamil.
Muzamil berkata polis sudah mengambil keterangannya berhubung insiden itu pada Khamis lalu, jam 2 pagi.
Beliau berkata ustaz lain yang mengajar di situ turut mengadu pelajar berkenaan yang mendaftar di situ sejak awal tahun ini mempunyai masalah disiplin dan pernah cuba melarikan diri dari sekolah.
Muzamil yang juga bekas pelajar tahfiz di situ berkata pelajar itu bertindak begitu mungkin kerana stres kerana dipaksa belajar ke sekolah tahfiz tanpa kerelaan.
“Saya tidak setuju (pelajar) yang jahat dihantar tahfiz. Ibu bapa ingat sekolah tahfiz macam pusat pemulihan akhlak. Ibu bapa fikir bila anak nakal, hantar ke tahfiz. Sepatutnya hantar ke sekolah pemulihan akhlak,” katanya.
Harian Metro hari ini melaporkan seorang pelajar tahfiz tingkatkan satu di sebuah sekolah tahfiz di Shah Alam cedera tulang rusuk dan lengan selepas dipukul teruk oleh warden asrama minggu lalu.
Polis setakat ini menyoal siasat empat individu termasuk seorang lelaki berusia 27 tahun yang didakwa memukul pelajar tingkatan satu itu.
Ketua Polis Shah Alam Shafien Mamat berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.
– ttps://www.themalaysianinsight.com/

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.