`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Thursday, May 11, 2017

Sudah ubah? Persoalan di hari jadi Umno ke-71

Bagi sejarawan Khoo Kay Kim, tidak banyak berubah kerana ia masih berpaut kepada Melayu dan Islam.
khoo-1

PETALING JAYA: Parti politik terbesar dalam sejarah moden Malaysia hari ini menyambut ulang tahun kelahiran ke-71.
Di tengah-tengah seruan pembangkang, termasuk bekas pemimpinnya untuk menamatkan “dinasti Umno”, parti Melayu itu dijangka menayangkan kekuatan dan perpaduan pada malam sambutan ulang tahun di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Pengkritik Umno sebelum ini pernah mengatakan saf kepimpinannya tidak lagi seperti dahulu, menyifatkan parti dan pemimpinnya tidak lagi mendakap nilai yang serupa.
Benarkah Umno sudah berubah?
Sejarawan Tan Sri Khoo Kay Kim tidak percaya Umno, selepas 71 tahun, benar-benar sudah berbeza dan pemimpinnya sudah “berubah” daripada mereka yang terdahulu.
Khoo berkata perspektif pemimpin Umno tidak berubah sejak awal.
“Sejak bertahun ahli Umno terikat pada 2 faktor utama iaitu, ‘Melayu’ dan ‘Islam’,” kata Khoo.
“Selagi seorang pemimpin terus memberi keutamaan kepada 2 faktor itu, dia akan selamat.
“Onn Jaafar – pengasas Umno – cuba mengubah Umno kepada sebuah parti ‘Malaya’ tetapi ditolak orang Melayu,” kata Khoo.
Pemikir berusia 80 tahun itu bagaimanapun berkata perbezaan besar antara 2 generasi pertama pemimpin Umno dengan generasi hari ini adalah pemimpin Umno yang lampau lebih terdedah kepada idea Barat.
Kerana itu, beliau berkata Umno sebelum ini dapat berfungsi dengan “lebih baik” kerana mereka faham sistem tadbir urus dan perundangan yang diperkenalkan British berbanding pemimpin sekarang yang lebih fokus kepada masyarakat setempat.
“Satu-satunya kecacatan yang boleh berlaku adalah mereka kadang-kadang meletakkan keperluan peribadi mengatasi rakyat yang tentu sekali akan menyebabkan kejatuhan mereka. Tetapi asalkan mereka benar-benar faham apa yang rakyat mahukan mereka akan terus kekal.”
Khoo berkata pemimpin Umno mesti sedar apa yang orang Melayu mahukan sejak lebih seabad lalu, iaitu mengekalkan kedudukan Melayu dalam Umno dan memastikan pengundi akan terus menyokong parti itu.
Umno diasaskan pada 11 Mei 1946 di Johor ketika pergerakan memuncak menentang Malayan Union, usaha penjajah British menyusun semula penjajahan mereka di Tanah Melayu.
Parti itu kemudiannya bergabung dengan MCA, dan kemudian MIC untuk membentuk Perikatan, antara parti yang memperjuangkan kemerdekaan yang dicapai pada 1957.
Sejak itu, Perikatan bertukar menjadi Barisan Nasional di mana Umno – yang kini mempunyai kira-kira 3 juta ahli – sebagai tunjang, bersama-sama MCA, MIC, Gerakan, MyPPP, PBB, SUPP, PRS, LDP, PBS, PBRS, Upko dan SPDP. -Mkini

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.