`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, June 13, 2017

Umat Islam sensitif, antara 1977 dan 2017

Dari 1977 hingga 2017, berlaku proses kecenderongan agama yang luas melibatkan media komunikasi, di waktu sama meningkatkan sensitiviti dalam masyarakat dengan kefahaman agama berbeza.
KOMEN
dap-puasa (2)

Kurang 2 minggu lagi bulan Ramadan tahun ini akan berlalu. Tetapi sepanjang lebih 2 minggu lalu, beberapa kejadian di negara ini menunjukkan umat Islam semakin sensitif, iaitu jika berbanding 40 tahun lalu.
Bagi mereka yang masih pernah mengalami suasana tahun 1977 mungkin dapat ingat betapa bezanya hubungan antara agama berbanding sekarang.
Kemungkinan pada 1977, kecenderongan masyarakat Islam pada agamanya tidak sekuat seperti sekarang. Ketika itu tidak banyak wanita Islam bertudung. Orang Islam makan di kedai bukan Islam bukanlah sesuatu yang pelik. Terdapat banyak pergaulan antara orang Islam dan bukan Islam.
Masa itu tidak ada istilah tazkirah. Tadika Islam pun tidak ada. Sekolah tahfiz pun tidak kedengaran. Tidak terdapat banyak acara agama Islam. Ceramah agama hanya sekali sekali.
Rancangan agama di radio dan televisyen juga tidak banyak. Lagipun televisyen pun hanya ada 2 saluran yang waktu siarannya terhad.
Proses kecenderongan agama
Dari 1977 hingga 2017, berlaku proses kecenderongan pada agama yang besar dan luas. Ia juga beserta dengan perkembangan pesat komunikasi.
Siaran radio bertambah. Kini ada satu stesen radio khas untuk agama iaitu IKIM.fm. Saluran televisyen juga bertambah dengan kandungan agama juga meningkat. Stesen seperti TV Hijrah, TV9, Astro Oasis dan Salam menyajikan kandungan agama.
Tetapi proses komunikasi yang paling mendadak memberi kesan pada kecenderongan pada agama dalam masyarakat Islam ialah teknologi maklumat. Internet, laman web, blog, Twitter, Facebook dan WhatsApp meningkatkan ulasan mengenai agama daripada pelbagai pandangan tetapi pada waktu sama ia meningkatkan perasaan sensitiviti dalam masyarakat yang mempunyai tahap kefahaman agama berbeza.
Persaingan untuk sokongan Islam
Perubahan politik yang besar juga berlaku dari tahun 1977 hingga 2017. Umno dan Barisan Nasional (BN) pada 2017 tidak sekuat pada 1977. Naratif agama tidak dimonopoli oleh kerajaan BN. Bukan saja PAS, naratif agama dalam politik kepartian juga diutarakan oleh Amanah dan PKR.
Maka terdapat persaingan bagi mendapatkan sokongan masyarakat Islam yang kuat kecenderongan keagamaan.
Selain parti politik dan kerajaan yang menyumbang kepada pengolahan perbahasan umum mengenai agama, terdapat juga persatuan berasaskan agama yang masing-masing mempunyai pandangan dunia berbeza.
Maka berlakulah pertembungan antara pihak yang mempertahankan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pihak Salafi yang di dalamnya juga terdapat Wahabi.
Pertembungan ini dapat dilihat secara umum melalui media sosial. Ia menjadi sengit lagi apabila pada 2017 ini terdapat banyak lulusan aliran agama yang berada dalam masyarakat berbanding pada tahun 1977. Mereka turut mewarnai budaya masyarakat Islam untuk lebih cenderong pada agama.
Rasa terancam
Tetapi perkembangan ini menimbulkan reaksi pada mereka yang berasakan ruang bagi kebebasan umum dalam masyarakat semakin sempit. Maka timbullah orang Islam yang menganggap diri mereka golongan sederhana mempertahan ruang demokratik negara yang dirasakan terancam. Golongan ini pula dilihat sebagai liberal dan sekular oleh pihak yang cenderong pada agama.
Sejak beberapa tahun kebelakang, khutbah Jumaat di banyak masjid disudahi doa memohon supaya masyarakat Islam dijauhi bukan saja daripada fahaman Qadiani, Syiah dan ekstremisme tetapi juga pluralisme dan libralisme. Doa seperti ini tidak ada pada tahun 1977.
Sementara orang bukan Islam yang merupakan golongan minoriti negara ini, tetapi mempunyai pengaruh ekonomi lebih besar berasa terancam dengan perubahan masyarakat Islam.
Walaupun kebebasan beragama dijamin Perlembagaan, namun tafsiran daripadanya menyebabkan mereka berasakan sifat sekularisme kian pudar.
Ini menyebabkan timbul kebimbangan bahawa ruang amalan kepelbagaian agama semakin sempit kerana sensitiviti anggota masyarakat Islam yang menunjukkan kemerosotan perasaan toleransi dan saling faham-memahami.
Reaksi daripada masyarakat bukan Islam yang dapat dilihat melalui komen di media sosial menimbulkan tindak balas pula di kalangan netizen orang Islam. Maka keadaan ini mengurangkan lagi hubungan selesa antara penganut berlainan agama.
Perasaan sensitif berhubung kepercayaan seseorang adalah sesuatu yang dapat difahami. Tetapi sensitif pada isu-isu yang dirasakan tidak wajar, berdasarkan pada ketidakfahaman atau perkara remeh temeh boleh mengalihkan perhatian masyarakat daripada masalah besar dan pokok dalam kehidupan beragama.
Setiap individu tentu mempunyai pandangan atau perspektif mengenai sesuatu isu yang berbeza di antara satu sama lain. Tetapi apabila seseorang tidak mengawal diri sendiri, dan banyak orang mengikut serta dalam perbincangan di media sosial, maka ia menjadi lebih besar daripada sepatutnya.
Pada zaman sebelum Internet, hal seumpama ini mungkin hanya dibincangkan di kedai kopi dan ia habis begitu saja. Tetapi kini ia diluahkan dalam media sosial yang boleh dibaca di seluruh dunia dan isu kecil menjadi besar, lebih daripada sepatutnya.
Ramadan yang sensitif
Mungkin kes yang berlaku sepanjang bulan Ramadan hanya merupakan kejadian terpencil, atau faktor politik menjelang pilihan raya menyebabkan ia sensitif.
Namun suasananya adalah ia menampakkan adanya peningkatan sensitiviti di kalangan umat Islam.
Awal Ramadan tahun ini menyaksikan isu muka depan akhbar The Star yang dirasakan menyinggung perasaan orang Islam. Pada hari pertama disiarkan ia tidak ada masalah. Tetapi ia jadi isu apabila ia disebarkan dalam media sosial pada hari kedua dengan komen sensitif menyebabkan Kementerian Dalam Negeri berasakan perlu bertindak.
Kemudian timbul bantahan terhadap orang bukan Islam berbuka puasa sama di masjid. Ia ditujukan kepada ahli politik.
Sejak negara ini mencapai kemerdekaan, tidak pernah timbul ada larangan orang bukan Islam dan ahli politik berbuka puasa di masjid. Pada masa itu, acara yang melibatkan orang bukan Islam berbuka puasa di masjid dianggap sebagai usaha merapatkan muhibah antara penganut agama berbeza.
Sementara acara berbuka puasa yang melibatkan ahli politik, sama ada Islam atau bukan Islam dalam masjid selama ini dianggap sebagai wajar. Ia dilakukan di banyak tempat di dunia dan ahli politik sebagai pemimpin dalam masyarakat tanpa mengira apa parti politiknya. Ia dilihat sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan demokrasi.
Selain daripada kes itu, terdapat juga bantahan terhadap ahli politik bukan Islam masuk masjid, bukan untuk berbuka puasa tetapi bagi acara kemasyarakatan. Bantahan itu dipanjangkan hingga kepada pihak berkuasa agama.
Akibatnya, ada pihak merasakan ruang keterbukaan dalam institusi agama juga semakin sempit. Namun apa yang berlaku ini dapat dilihat dari segi perkembangan politik.
Ketika PAS dan DAP bermesra dalam Pakatan Rakyat, isu ini tidak timbul. Tetapi apabila PAS berpecah, barulah perkara seumpama ini menjadi isu.
Kemudian timbul pula isu yang berkaitan dengan acara penganut satu aliran agama Kristian yang dirancang diadakan dalam gereja. Ia tidak ada kaitan dengan orang Islam. Ia juga tidak melibatkan aliran lain dalam agama Kristian. Banyak orang pun tidak faham mengenai aliran ini.
Tetapi apabila keluar poster acara ini dengan simbol dan perkataan yang berkaitan dengan Yahudi, maka ada netizen di kalangan umat Islam membuat bantahan. Mereka sensitif kerana soal Yahudi dan Palestin.
Banyak persatuan Islam membuat laporan polis. Kerajaan negeri Melaka pun bertindak dan penganjurnya setuju membatalkan acara itu.
Terdapat 2 lagi isu dalam bulan ini, ia pula dikaitkan dengan Bazaar Ramadan, yang sememangnya ruang bebas untuk semua orang tanpa mengira anutan agama mereka. Ia sepatutnya menjadi ruang bagi muhibah antara agama. Tetapi ia juga jadi isu.
Yang pertama kerana soal tempat letak kereta. Kedua dan terbaru ialah halangan kepada seorang ahli politik bukan Islam untuk mengedar sumbangannya di Bazaar Ramadan.
Pada 1977, tidak ada istilah Bazaar Ramadan. Apa yang ada hanyalah gerai menjual juadah untuk berbuka puasa.
Kejadian ini menunjukkan sebahagian besar umat Islam negara ini semakin sensitif pada perkara yang bagi sebahagian orang lain pula berasa ia tidak perlu.
Mereka berasakan orang Islam patut mengalihkan perasaan sensitiviti kepada perkara-perkara yang lebih konkrit !’dapat memberi kebaikan kepada masyarakat umum.
* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan. -FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.