MACHANG: Kenduri menyambut menantu di Kampung Galang, dekat Pulai Chondong, di sini, bertukar menjadi pesta air selepas kawasan itu dilanda banjir semalam.
Bagi pengantin baharu, Faqroul Afiq Saifuddin, 27, tidak menyangka hari penting untuknya itu bertukar menjadi sesuatu yang tidak dapat dilupakan apabila kediaman neneknya itu menjadi seperti restoran terapung.
"Ketika majlis berlangsung, hujan lebat berterusan dan air sungai berdekatan melimpah menuruni jalan menyebabkan air semakin deras," katanya yang melangsungkan perkahwinan dengan seorang guru, Nur Nabilah Syuhadah Zakaria, 24, pada Sabtu lalu.
Pegawai eksekutif di sebuah agensi kerajaan negeri itu, tidak menyangka kejadian berkenaan menjadi viral di laman sosial Facebook, tetapi bersyukur majlis menyambut menantu itu tetap berjalan lancar walaupun bertukar menjadi pesta air bagi tetamu yang hadir.
"Mujurlah air naik selepas keluarga pengantin perempuan kebanyakannya sudah pulang.
"Air mula naik kira-kira jam 1.30 tengah hari, ketika itu ramai penduduk kampung yang hadir terpaksa dibantu untuk melintasi jalan kerana air sangat deras.
"Kenduri semalam bertukar menjadi seperti restoran terapung kerana dipenuhi air sehingga paras betis.
"Kebanyakan tetamu dilihat seronok kerana dapat bermain air dan saya menganggap kenangan yang tidak akan dapat dilupakan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Sementara itu, Che Rahmah Che Bakar, 75, yang juga nenek kepada Faqroul Afiq, berkata air naik sehingga mencecah tangga di rumahnya.
"Bagaimanapun, saya bersyukur majlis cucu berjalan lancar dan dapat mengelak daripada sebarang kejadian yang tidak diingini, "katanya. -nst
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.