`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 

10 APRIL 2024

Sunday, December 1, 2019

Kementerian pastikan tiada manipulasi kontrak keselamatan, kebersihan, makanan

PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan tidak akan bertolak ansur bagi memastikan tiada sesiapa boleh memanipulasi proses perolehan bagi 3 perkhidmatan iaitu Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK), Kebersihan Bangunan dan Kawasan (KBK) serta Bekalan Makanan Bermasak (BMB) untuk kontrak bermula 1 Jan 2020.
Kementerian dalam kenyataan berkata, ia cakna dengan dakwaan berhubung penyata bank palsu yang dikemukakan oleh petender ketika menyertai tender bagi kontrak bermula 1 Jan 2019.
“Justeru kementerian melancarkan gerak kerja bagi menyemak penyata bank semua kontraktor yang berjaya dan didapati sebahagian kontraktor BMB mengemukakan penyata bank palsu. Kontrak perkhidmatan kontraktor terlibat ditamatkan serta laporan polis juga dibuat bagi membolehkan kes ini disiasat dengan lebih lanjut,” katanya lagi.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan tender bagi kontrak bermula 1 Jan 2020 mengandungi 1,652 tender perkhidmatan merangkumi 858 tender PKK, 401 tender KBK serta 393 BMB.
Kementerian menghadapi kesukaran untuk membuat pengesahan kesahihan penyata bank dengan pihak bank berikutan jumlah petender yang terlalu banyak. Oleh itu tempoh masa diperlukan bagi menentusahkan akaun petender dengan pihak bank yang berkenaan, katanya lagi.
“Kementerian juga memerlukan masa untuk memastikan pemilik syarikat yang melepasi syarat-syarat teknikal bukan dari kalangan pemilik yang syarikatnya telah disenarai hitamkan atau bermasalah. Kementerian juga perlu memastikan tidak ada kelebihan diperoleh oleh petender yang melanggar integriti proses perolehan dalam apa bentuk sekalipun,” katanya lagi.
Faktor tempoh masa amat penting untuk meneliti perkara ini secara lebih mendalam dan dibersihkan menerusi satu mekanisme pemutihan kesahihan petender yang sedang diusahakan, katanya.
Menurut kenyataan itu, oleh kerana proses pemutihan akan mengambil masa, kontraktor BMB sedia ada akan dibenarkan untuk terus beroperasi sehingga kontraktor baharu benar-benar dapat disahkan layak dan bebas daripada unsur-unsur tidak berintegriti.
Pelantikan kontraktor sedia ada dalam meneruskan perkhidmatan akan dibuat berdasarkan prosedur dan tatacara perolehan kerajaan yang berkuatkuasa, katanya lagi.
Tender PKK dan KBK akan diteruskan seperti yang dirancang memandangkan syarat-syarat teknikal yang terperinci telah dikuatkuasakan kepada kedua-dua tender perkhidmatan ini, kata kenyataan itu.
“Kementerian akan terus komited dalam memastikan perolehan dilaksanakan secara telus dan saksama. Adalah tidak benar sama sekali ada tekanan daripada pejabat Menteri Pendidikan mahupun pihak-pihak lain dalam pelaksanaan perolehan ini seperti yang ditularkan. Kementerian ingin memastikan integriti proses perolehan sentiasa dipelihara dan ditambah baik,” katanya lagi. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.