BUKIT MERTAJAM: Bermula 2 Jan depan, peniaga boleh mengadakan jualan murah pada bila-bila masa yang tidak terhad kepada 4 kali setahun.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail berkata, Peraturan-peraturan Perihal Dagangan (Harga Jualan Murah) Pindaan 2019 yang diwartakan pada 29 Nov lalu itu juga membolehkan jualan murah diadakan tanpa perlu menghantar permohonan permit kepada kementeriannya.
“Sebelum ini peniaga perlu mohon permit 14 hari sebelum menganjurkan jualan murah, namun menerusi pindaan itu, mereka tidak perlu lagi mohon.
“Konsep penganjuran jualan murah yang dikawal had bilangannya adalah relevan sebelum ini, bagaimanapun pada era teknologi serta model perniagaan yang semakin berkembang, konsep itu dilihat tidak memberi fleksibiliti dan menyekat peniaga menganjurkan (jualan murah) mengikut kreativiti serta strategi pasaran masing-masing,” katanya selepas merasmikan program “Kembali ke Sekolah” di sini hari ini.
Saifuddin berkata, kuota penganjuran jualan murah itu menjadi halangan perdagangan dalam konteks perdagangan antarabangsa masa kini dan pindaan itu dibuat selepas kajian teliti serta mengambil kira pandangan pihak industri serta pengguna.
Katanya, sebanyak 10 peruntukan terlibat dalam pindaan itu dengan yang paling penting ialah had 4 kali setahun dengan 3 daripadanya ditetapkan tempoh dan tarikh oleh kerajaan melalui warta.
“Peraturan itu telah melalui pindaan 5 kali sejak ia diperkenalkan pada 1997 untuk menambah baik peruntukan peraturan bagi mengimbangi keperluan industri dalam sektor peruncitan serta aspek perlindungan hak pengguna.
“Pindaan ini juga sebagai rangsangan kepada industri peruncitan untuk berkembang seiring kemajuan ketika ini.”
Beliau berkata, aspek perlindungan hak pengguna tidak diabaikan dengan mengekalkan kawalan sedia ada bagi melindungi pengguna, selain KPDNHEP akan menjalankan pemantauan berterusan terhadap jualan murah untuk mengelakkan peniaga membuat pernyataan palsu atau mengelirukan dalam iklan.
“Kami berharap dengan penambahbaikan peraturan itu, aktiviti jualan murah akan menjadi semakin rancak dan mendorong ke arah suasana perniagaan mampan.
“Kami percaya jumlah penganjuran jualan murah yang tidak dihadkan juga akan meningkatkan daya saing dalam penawaran harga yang secara tidak langsung membantu mengurangkan kos sara hidup.” - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.