`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!





Sunday, December 1, 2019

Zuraida Nafi Ada Kaitan ‘Projek RM300,000’ Didedah Saifuddin

(FMT) – Zuraida Kamaruddin menafikan dakwaan kononnya kementeriannya terlibat dengan pemberian projek bernilai RM300,000 seperti didedahkan oleh setiausaha agung PKR, Saifuddin Nasution susulan pemecatan ahli majlis pimpinan parti itu, Zakaria Abdul Hamid, Ahad lepas.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, berdasarkan pengetahuannya projek sedemikian tidak pernah wujud.
“Perkara (projek) sedemikian tidak wujud,” kata Zuraida merujuk kepada pemecatan Zakaria yang dikatakan berpunca daripada satu surat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada PKR yang menasihati supaya tindakan diambil ke atas beliau kerana dipercayai terlibat rasuah dalam pemilihan parti tahun lepas.
Zuraida berkata demikian ketika ditanya adakah pihaknya maklum tentang projek tersebut susulan pendedahan dibuat Saifuddin yang memetik surat berkenaan ketika mempertahankan keputusan memecat Zakaria dan seorang ahli PKR di Pahang, Ismail Dulhadi.
Ketika dihubungi, Zakaria berkata, beliau tidak mengetahui sama ada projek itu datang daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atau sebaliknya kerana beliau hanya mengetahui mengenainya daripada ahli parti di peringkat akar umbi yang mahu mendapatkan khidmat nasihat daripadanya.
“Saya pun tidak tahu pasal projek ini sebab saya bukan kontraktor, saya konsultan EIA (Penilaian Kesan Alam Sekitar) sahaja.
“… maklumat itu (projek RM300,000 itu) diperolehi oleh ahli kita, dia dapat daripada iklan yang dibuat dalam Facebook Majlis Daerah Bera, mereka tanya saya dalam mesyuarat,” katanya yang juga merupakan ketua PKR Bera.
Semalam Saifuddin mendedahkan surat SPRM yang dikatakan menyebut bahawa peruntukan berjumlah RM300,000 yang didakwa “ditawarkan” oleh Zakaria datang daripada sumber Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Saifuddin juga dilaporkan berkata, Zakaria yang merupakan bekas pegawai kepada Menteri Kerja Raya, Baru Bian turut menawarkan kontrak bernilai RM20,000 daripada kementerian itu.

No comments:

Post a Comment