`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Thursday, August 27, 2020

9 lagi anggota tabligh Malaysia terkandas di India selamat pulang

Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, Wisma Putra membawa pulang 124 daripada 189 anggota tabligh yang terkandas di India sejak 17 Julai lepas. (Gambar Wisma Putra)
KUALA LUMPUR: Kementerian Luar memaklumkan kumpulan ke-4 jemaah tabligh rakyat Malaysia melibatkan 9 orang yang terkandas di Kolkata, India selamat tiba di tanah air menerusi pesawat Air India Express hari ini.
Timbalan Menteri Luar Kamarudin Jaffar berkata, secara keseluruhannya, kementerian membawa pulang 124 daripada 189 anggota tabligh yang terkandas di negara itu.
“Seramai 115 orang dibawa pulang sebelum ini menerusi 3 Misi Bantuan Kemanusiaan dan Bencana (HADR) masing-masing pada 17, 22 dan 29 Julai lepas.
“Sebagaimana 3 kumpulan itu, mereka yang pulang kali ini juga akan menjalani kuarantin wajib 14 hari di stesen kuarantin ditetapkan oleh kerajaan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, 9 individu terbabit ditempatkan di bawah pengawasan pihak berkuasa tempatan India di Haj House, Kolkata sejak 1 April bagi menjalani kuarantin yang ditetapkan pihak kerajaan negara itu dan tidak dikenakan sebarang pertuduhan.
Kamarudin berkata, sehingga hari ini, 65 anggota tabligh tempatan masih berada di India dengan 13 orang di New Delhi kerana menunggu pelepasan dan kebenaran pulang daripada kerajaan negara itu.
Manakala itu, baki yang lain sedang menjalani proses perundangan di beberapa wilayah, iaitu di Bihar, Jharkand, Telangana, Tamil Nadu dan Maharashtra.
Beliau berkata, selaras dengan komitmen kerajaan membantu kumpulan tabligh yang masih terkandas di negara itu, kementerian akan terus memantau isu tersebut secara rapat serta memberikan bantuan konsular yang sewajarnya bagi memastikan hak dan kebajikan mereka terpelihara.
“Kementerian juga terus meningkatkan usaha serta jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan di India dalam usaha memudah cara kepulangan 65 anggota tabligh rakyat Malaysia yang masih berada di negara itu dengan segera dan selamat,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.