`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Thursday, September 3, 2020

PM hopes to finalise worker movement SOP with Singapore


Muhyiddin menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon di Putrajaya hari ini. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berharap prosedur operasi standard (SOP) berhubung cadangan perjalanan ulang-alik harian bagi pekerja Malaysia dan Singapura akan dimuktamadkan segera.
Perkara itu adalah antara isu yang dibincangkan dalam kunjungan hormat Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon ke atas Muhyiddin di Putrajaya, hari ini.
Muhyiddin berkata, perkara itu perlu dimuktamadkan segera seiring usaha bagi meningkatkan ekonomi negara serta golongan pekerja yang terlibat.
“Kami juga menyatakan komitmen untuk memastikan pergerakan orang ramai dan kawalan sempadan terus berjalan lancar tanpa mengabaikan aspek keselamatan kedua-dua negara.
“Kami yakin, langkah ini akan membantu Malaysia dan Singapura memulihkan ekonomi dan interaksi rakyat yang terjejas akibat pandemik Covid-19 antara kedua-dua negara secara beransur-ansur,” katanya di Facebook malam ini.
Menurut perdana menteri, pelaksanaan Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) dan Peraturan Ulang Alik Berkala (PCA) untuk pergerakan rentas sempadan antara Malaysia-Singapura turut disentuh pada pertemuan itu.
“…kami sependapat bahawa inisiatif yang dilaksanakan bermula 17 Ogos lepas berjalan dengan lancar serta amat berkesan,” katanya.
Beliau berkata kedua-dua negara perlu terus meningkatkan kerjasama dan berganding bahu untuk mencegah, membendung dan mengawal penyebaran wabak Covid-19.
Muhyiddin berkata, pertemuan itu antara lain turut membincangkan mengenai usaha yang boleh dan perlu dilakukan Malaysia dan Singapura dalam memperkukuh kerjasama 2 hala menerusi penerokaan bidang baru seperti sains, teknologi serta inovasi.
Perdana menteri berkata hubungan 2 hala Malaysia-Singapura terus berkembang positif walaupun melalui tempoh mencabar semasa penularan Covid-19.
Beliau percaya, kedua-dua negara mempunyai pengalaman, kebolehan serta kepakaran untuk mengatasi ancaman jangka panjang pandemik tersebut.
Berhubung projek kereta api berkelajuan tinggi (HSR), Muhyiddin berharap perbincangan di peringkat menteri melibatkan kedua-dua negara dapat diadakan dalam masa terdekat.
“Bagi sesi Pemukiman Pemimpin Tahunan (ALR) ke-10 yang sepatutnya dihoskan oleh Singapura tahun ini, saya meminta agar pegawai kedua-dua negara berbincang dan seterusnya mencadangkan kaedah yang bersesuaian untuk mengadakannya atau mengemukakan cadangan lain,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.