`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Monday, October 5, 2020

PKPB jejas pendapatan peniaga kecil, perlu berkorban, kata dewan perniagaan

 

Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Bonipasius Bianis berkata dengan pelaksanaan PKPB itu kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk membantu peniaga terjejas.

KOTA KINABALU: Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kadazandusun (KCCI) Bonipasius Bianis mengakui pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan bakal menjejaskan peniaga khususnya peniaga kecil-kecilan yang mengharapkan pendapatan harian bagi menampung kehidupan.

Katanya, bagaimanapun peniaga terbabit perlu memahami langkah pelaksanaan PKPB dan menganggapnya sebagai pengorbanan serta tanggungjawab kepada kerajaan dalam menangani wabak Covid-19.

“Dari segi pendapatan, memang ia menjejaskan peniaga terutama peniaga kecil kerana mereka mengharapkan sepenuhnya jualan harian sebagai sumber pendapatan.

“Bagaimanapun, bagi pihak KCCI pelaksanaan PKPB di 3 daerah ini perlu demi memastikan rantaian Covid-19 diputuskan, ia sesuatu yang kita tidak dapat elak, oleh itu perkara ini perlu pengorbanan pelbagai pihak termasuk peniaga,” katanya ketika dihubungi FMT hari ini.

Bonipasius berkata, dengan pelaksanaan PKPB itu kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk membantu peniaga terjejas.

“Saya berharap ada sedikit bantuan daripada kerajaan bagi menampung kos pendapatan peniaga sepanjang PKPB dilaksanakan. Kalau bukan 100% pun, bantuan kira-kira 30 hingga 50% daripada jumlah pendapatan peniaga khususnya peniaga kecil sudah dapat mengurangkan beban ditanggung mereka.

Nordin Thani.

“Ini kerana peniaga kecil bergantung sepenuhnya kepada pendapatan harian dan bukan seperti peniaga besar yang masih mampu bertahan dalam tempoh seminggu atau 2 minggu jika PKPB dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Barisan Pengguna Sabah (CFOS) Nordin Thani menyokong dan bersetuju dengan pelaksanaan PKPB namun berpendapat ia sepatutnya dilaksanakan lebih awal.

“Bagaimanapun, ia baik daripada tidak dilaksanakan langsung dan saya berharap semua pengguna terutama di kawasan terlibat tidak melakukan pembelian panik.

“Lakukan pembelian secara terancang dan teratur supaya tidak kerap keluar untuk membeli barang keperluan selain mematuhi sepenuhnya arahan serta SOP ditetapkan,” katanya.

Nordin turut menasihatkan pengguna tidak percaya dengan khabar angin yang hanya akan mencetuskan panik.

“Khabar angin ini hanya akan mengakibatkan kita membuat pembelian panik dan ia tidak membantu dalam usaha menangani Covid-19.

“Saya juga menasihatkan pengguna yang merasakan diri mereka terdedah (dengan Covid-19) melakukan kuarantin diri di rumah walaupun tidak menunjukkan sebarang simptom,” katanya.

Hari ini kerajaan mengumumkan PKPB di Kota Kinabalu, Penampang, dan Putatan berkuatkuasa tengah malam 7 Oktober.

“Pergerakan keluar masuk di ketiga-tiga kawasan PKPB ini tidak dibenarkan. Hanya perkhidmatan perlu termasuk kilang dan rantaian yang berkaitan dalam perkhidmatan perlu dibenarkan,” kata Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat selepas mesyuarat khas menteri-menteri hari ini berhubung situasi semasa Covid-19 di seluruh Sabah yang dibentangkan oleh Kementerian Kesihatan dan cadangan kerajaan Sabah.

Pelaksanaan PKPB itu, katanya bagi membendung jangkitan dan penularan Covid-19 dalam kawasan berkenaan serta membolehkan aktiviti pengesanan kes secara bersasar dilaksanakan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.