`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, October 6, 2020

Polis siasat kes guna nama Agong sebar berita palsu

 

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai Istana Negara. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Polis kini menyiasat kes penggunaan nama dan gambar Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah serta Istana Negara oleh individu tertentu untuk mengeluarkan kenyataan tidak benar kepada media.

Timbalan Pengarah (Siasatan/Perundangan) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan itu dijalankan selepas pihaknya menerima laporan daripada pegawai Istana Negara.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan,” katanya kepada Bernama.

Semalam, Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin dalam kenyataan berkata, Istana Negara memandang serius perbuatan pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama atau membabitkan Agong dan Istana Negara, untuk menyebar berita palsu sama ada bagi kepentingan politik atau peribadi.

Beliau berkata, tindakan tidak bertanggungjawab itu bukan sahaja mencemarkan kredibiliti Agong dan Istana Negara, tetapi juga boleh menimbulkan kegusaran rakyat serta menggugat ketenteraman dalam negara dari pelbagai sudut.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Mior Faridalathrash berkata pihaknya sudah merekodkan keterangan bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Mohamaddin Ketapi berhubung dakwaannya bahawa pencerobohan Lahad Datu oleh pengganas Sulu adalah sandiwara.

“Keterangan beliau (Mohamaddin) telah direkodkan pada 1 Oktober di Kota Kinabalu, Sabah oleh sepasukan anggota bawah Jabatan Siasatan Jenayah Sabah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan itu sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat untuk tindakan selanjutnya.

Sebelum ini, tular di media sosial 1 video berdurasi 1 minit 9 saat berkaitan ucapan Mohamaddin yang menganggap peristiwa Lahad Datu yang mengorbankan 10 anggota keselamatan, sebagai sandiwara, semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri Sabah bulan lepas. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.