`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Wednesday, February 10, 2021

Darurat: Tindakan Anwar rujuk mahkamah tepat, berbanding retorik kedai kopi, kata penganalisis

 

Semalam, Anwar Ibrahim dilaporkan mahu merujuk beberapa persoalan ke Mahkamah Persekutuan berkaitan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melaksanakan darurat.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim amat berhati-hati dalam tindakannya mahu merujuk beberapa persoalan ke Mahkamah Persekutuan berkaitan mencabar keputusan kerajaan melaksanakan darurat.

Bekas ahli akademik Universiti Teknologi Malaysia Azmi Hassan berkata, ini kerana Anwar tidak mahu dinilai mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, sebaliknya hanya mencabar tindak-tanduk Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika menjalankan tugasnya menasihati Agong.

“Tetapi saya menilai permohonan semakan atas alasan mungkin terdapat percanggahan Akta Malaysia dan Perlembagaan sebagai amat menarik sekali.

“Strateginya adalah untuk menentukan sama ada pengisytiharan darurat itu mempunyai kekuatan perundangan atau sebaliknya,” katanya kepada FMT.

Azmi Hassan.

Semalam, Anwar dilaporkan mahu merujuk beberapa persoalan ke Mahkamah Persekutuan berkaitan semakan kehakiman bagi mencabar keputusan kerajaan melaksanakan darurat.

Peguam Anwar Ramkarpal Singh berkata, persoalan itu mahu dirujuk Anwar ke mahkamah tertinggi termasuk sama ada nasihat kerajaan untuk Agong menggantung Parlimen adalah tertakluk bawah klausa penyingkiran (ouster clause) dalam Artikel 150 Perlembagaan.

Beliau juga mahu mahkamah memerintahkan sama ada keputusan menggantung Parlimen boleh disemak semula oleh mahkamah, dan jika bidang kuasa perundangan, termasuk kuasa semakan semula berhubung prosedur, dapat dihalang sepenuhnya oleh badan perundangan.

Azmi berkata, permohonan semakan itu bukan mencabar pengisytiharan darurat, sebaliknya untuk penentuan kuasa perdana menteri yang menasihati Agong supaya darurat diisytiharkan.

Sementara itu, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, tindakan Anwar adalah langkah tepat dan terbaik serta rasmi berbanding hanya retorik berlegar di kedai kopi.

Katanya, sebagai rakyat Malaysia apabila tidak jelas dengan perkara berkaitan undang-undang dan perlembagaan maka saluran terbaik ialah merujuk kepada mahkamah.

Awang Azman Pawi.

“Mahkamah mempunyai kuasa untuk memberikan penjelasan dan pengisytiharan apabila sebarang permasalahan undang-undang dan perlembagaan tidak jelas.

“Ini bukan kes yang unik kerana sebelum ini juga ada peguam meminta mahkamah membuat penjelasan dan pengisytiharan sama ada keputusan Agong menolak darurat ini bertepatan dengan undang-undang atau sebaliknya,” katanya.

Awang Azman berkata, tindakan rujukan ke mahkamah itu bukan bertujuan untuk menyaman Agong, sebaliknya bagi meminta mahkamah lebih jelas membuat penjelasan supaya apa-apa berlaku pada masa akan datang lebih jelas.

“Selain itu, ia juga boleh dirujuk bukan saja di Malaysia tetapi oleh negara-negara Komanwel,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.