`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Friday, February 19, 2021

Imigresen tahan 7 lelaki terlibat sindiket pemalsuan dokumen

 

Semua anggota sindiket itu ditahan Ahad lepas hasil beberapa siri operasi dijalankan secara bersepadu antara Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan tujuh lelaki warga tempatan kerana disyaki terlibat dengan sindiket pemalsuan dokumen imigresen dalam serbuan Op Sticker.

Semua anggota sindiket berusia antara 30 hingga 39 tahun itu ditahan Ahad lepas hasil beberapa siri operasi dijalankan secara bersepadu antara JIM dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pengarah JIM Khairul Dzaimee Daud berkata sindiket itu dipercayai menjalankan kegiatan menjual pelekat keselamatan imigresen tulen dengan mendapat bekalan yang diseludup individu yang bekerja dengan sebuah syarikat percetakan yang menjadi pembekal kepada JIM.

Beliau berkata setiap keping pelekat dibeli antara RM700 hingga RM800 oleh anggota sindiket sebelum dijual dengan anggaran keuntungan mereka mencecah RM80,000 sebulan.

“Kerajaan dianggarkan kerugian RM1,800 bagi setiap keping pelekat yang dijual dan digunakan pendatang tanpa izin disebabkan tidak dapat mengutip hasil levi, bayaran pas dan bayaran proses ,” katanya sambil menambah kerugian hampir RM2.16 juta setiap tahun ditanggung kerajaan akibat kegiatan sindiket terbabit.

Katanya, kegiatan sindiket ini jelas boleh menggugat keselamatan negara dan menyebabkan ketirisan kutipan hasil kerajaan, justeru pihaknya tidak akan berkompromi.

Dalam perkembangan lain, SPRM berkata pihaknya sedia bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam menangani isu rasuah, penyelewengan dan integriti dalam JPJ.

Menurut SPRM dalam satu kenyataan, Ketua Pesuruhjayanya Azam Baki dan Ketua Pengarah JPJ Zailani Hashim mengadakan pertemuan ke arah itu, semalam dan pihaknya menyambut baik komitmen Zailani dalam meningkatkan integriti jabatan berkenaan. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.