`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Tuesday, February 2, 2021

Undang-undang mana halang rakyat rayu Agong batal darurat, soal Anwar

 

Anwar Ibrahim menggesa pimpinan negara tidak menggunakan taktik mengugut mana-mana pihak yang merayu Agong membatalkan pelaksanaan darurat.

PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan undang-undang mana yang menghalang rakyat memohon ihsan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membatalkan pelaksanaan darurat.

“Undang-undang apa atau peraturan, Perlembagaan mana yang tidak membolehkan rakyat memohon ihsan, kebijaksanaan Agong?

“Untuk sekadar ugut satu, dua, tiga (orang) tidak munasabah kerana yang bawa kes ke mahkamah, saya mewakili Pakatan Harapan, Adun dan ahli daripada NGO, termasuk Bersih akan kemukakan rayuan.

“Adakah fail petisyen di mahkamah dianggap menyalahi undang-undang?” soalnya dalam video yang disiarkan di Facebook.

Terdahulu, Menteri Dalam Negeri, Hamzah Zainudin hari ini berkata, polis sedang menyiasat Anwar susulan 13 laporan yang diterima di seluruh negara ke atas presiden PKR itu yang menentang perisytiharan darurat dan mendesak Agong membatalkannya.

“Bukan hanya Anwar seorang, malah beberapa orang lagi kita siasat,” kata Hamzah dalam sidang media siang tadi.

Sementara itu, Anwar menggesa pimpinan negara tidak menggunakan taktik mengugut mana-mana pihak yang merayu Agong membatalkan pelaksanaan darurat.

“Kamu sudah kalah dalam pertarungan politik, sudah hilang majoriti, hadapi kenyataan ini dalam suasana demokratik dan jangan guna ugutan.”

Beliau juga berharap polis menjalankan siasatan dengan profesional.

“Kalau difikirkan ada alasan perundangan bukan ikut arahan menteri.

“Ini arahan menteri keluarkan kenyataan seolah-olah mengarah. Saya harap polis dapat jalankan tugas dengan profesional dan (saya) akan beri kerjasama sebaiknya.”

Pada 12 Jan lalu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah memberi perkenan darurat dilaksanakan hingga 1 Ogos atau lebih awal, jika jumlah kes Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Dua hari kemudian, Anwar dilaporkan menulis surat kepada semua Ahli Parlimen dalam usaha merayu Agong membatalkan perisytiharan darurat dan mengadakan sidang Parlimen secepat mungkin.

Ia disusuli tindakan Anwar memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman berhubung peranan perdana menteri dalam perisytiharan darurat dan penggantungan Parlimen pada 25 Jan lalu.

Ia diikuti tiga wakil rakyat PH mengikut jejak Anwar memfailkan permohonan untuk kebenaran di Mahkamah Tinggi pada 26 Jan lalu.

Mereka ialah Adun Simpang Jeram, Salahuddin Ayub (Amanah), Adun Gurun, Johari Abdul (PKR) dan Adun Tebing Tinggi, Abdul Aziz Bari (DAP). - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.