PETALING JAYA: Sebuah agensi pekerjaan swasta (APS) mendakwa “tercicir” daripada mendapat perhatian dan bantuan kerajaan setelah tiada kemasukan pekerja asing, termasuk pembantu rumah semenjak sempadan negara ditutup berikutan pandemik Covid-19.
Pengarah syarikat agensi pekerja, Zubaidah M Ali berkata, kerajaan tidak memberi peluang kepada APS untuk mendapatkan bantuan daripada Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) walaupun berperanan sebagai orang tengah untuk menempatkan pekerja tempatan.
“Saya agak terkilan, dengan tiada tindak balas daripada kementerian dan jabatan terlibat untuk mengambil tahu tentang APS yang menunggu selama setahun dengan harapan kerajaan dapat melihat kita yang tercicir daripada bantuan.
“Kita faham dasar keselamatan dan kesihatan rakyat, tetapi saya yakin negara yang melibatkan pekerja asing kini berusaha mendapatkan vaksin supaya semuanya berjalan dengan selamat,” katanya kepada FMT.
Dalam pada itu, Zubaidah berkata APS juga adalah rakyat Malaysia yang kini dalam kesusahan.
Katanya, kerajaan terutama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) haruslah cakna mengenai nasib agensi berdaftar yang sedang berdepan masalah.
“Kami tidak menentang atau menimbulkan apa-apa masalah selama setahun kerana bersedia menunggu dengan harapan ada bantuan daripada pihak berkaitan buat kami.
“Kebanyakan APS kini tiada perniagaan. Bukan senang kita hendak mendapatkan pekerja tempatan memandangkan calon pekerja sendiri boleh merujuk banyak laman web pencarian pekerjaan dan media sosial, termasuk laman web JobsMalaysia,” katanya.
Zubaidah berkata, disebabkan itu bantuan PENJANA seharusnya turut diberikan kepada APS berdaftar yang membuat penempatan pekerjaan supaya mereka dapat bernafas.
Katanya, terdapat lebih 1,100 APS berdaftar dengan lesen sah di bawah JTKSM.
“Saya yakin ramai yang sudah tutup pejabat sebab sudah buntu dengan masalah yang dilalui. Malah ada yang berputus asa kerana tiada respons daripada pihak bertanggungjawab.
Katanya, kerajaan juga boleh memudahkan APS dalam proses permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) bagi meringankan beban mereka.
“Jika sempadan negara masih tutup, pihak yang bertanggungjawab (boleh) menyediakan satu tempat buat kami beroperasi dengan kadar sewa rendah,” katanya.
Zubaidah juga berkata, kerajaan boleh membuka semula sektor pembantu rumah asing dengan SOP ketat melalui APS.
“Saya yakin majikan akan bersetuju dengan kos yang dikenakan oleh kerajaan untuk kemasukan pembantu rumah asing dengan SOP ketat serta teratur,” katanya. - FMT
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.