`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Friday, March 26, 2021

Dari jejantas ke platform dalam talian, pelajar bantu pengusaha manik di Sabah

 

KOTA KINABALU: Pengusaha aksesori kraftangan berasaskan manik yang selama ini bergantung kepada pelancong, kehilangan punca pendapatan sehingga 80% akibat penularan Covid-19.

Dahulu, pengusaha manik biasanya memperagakan hasil ciptaan mereka di jejantas Segama, di sini.

Kini, mereka mengharapkan masyarakat tempatan dan penganjuran Pesta Kaamatan pada Mei ini untuk menjual hasil kraftangan mereka.

Nasib pengusaha manik itu mendapat perhatian sekumpulan pelajar pengajian jarak jauh (PJJ) Universiti Utara Malaysia (UUM) dari Sabah yang cuba membantu mempromosikan hasil seni mereka menerusi media sosial dan platform dalam talian.

Ketua kumpulan itu, Agustavia Joe Guasi berkata, kumpulannya mengambil langkah awal dengan mempromosikan aksesori manik itu menerusi Facebook.

Katanya, ia menjadi akses eksklusif kepada penggemar kraftangan untuk mendapat tawaran secara terus antara pengusaha dan pelanggan.

“Penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) serta ketiadaan pelancong dari dalam dan luar negara menyebabkan penurunan hampir 80% hasil jualan (kraftangan berasaskan manik).

“Selain itu, perniagaan mereka juga terpaksa ditutup ekoran beberapa acara dan perayaan yang kebiasaannya menjadi medan untuk mempromosikan produk tidak boleh dianjurkan.

“Inilah antara cabaran peniaga kecil-kecilan di kawasan ini (jejantas Segama) dan sebab itu tercetuslah idea untuk membantu golongan ini agar perniagaan mereka mampu diteruskan dan berkembang, sejajar norma baharu dan era digital sekarang,” katanya kepada FMT.

Agustavia berkata, pihaknya turut membantu pengusaha mempelajari teknik jualan dalam talian.

“Pada masa sama, kita membantu menghasilkan poster yang mampu menarik minat orang ramai untuk mengenali produk serta pemborong tetap untuk melancarkan aktiviti perniagaan mereka.” - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.