`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


 


Tuesday, May 25, 2021

‘Mengucap mak’, panggilan terakhir korban Covid-19 bersama semua anak runtun jiwa

 

Video berdurasi satu minit 37 saat itu dikatakan membabitkan panggilan video antara seorang ibu yang sedang bertarung nyawa bersama anaknya.

PETALING JAYA: Hanya raungan berselang linangan air mata dapat didengari dalam video yang tular di media sosial memaparkan panggilan buat kali terakhir antara seorang ibu yang sedang bertarung nyawa bersama anaknya.

“Mak buka mata mak, bangun mak, mengucap mak,” kata salah seorang anak kepada seorang ibu yang dipercayai pesakit Covid-19 dan sedang dirawat di hospital.

Memetik Harian Metro, seorang lelaki dipercayai menantu kepada wanita itu berkongsi catatan di media sosial mengenai perkara itu.

“Hari ini 24 Mei pukul 4.45 pagi tadi, ibu mertua kesayangan saya telah kembali ke rahmatullah. Meninggal dunia di Hospital Shah Alam. Arwah meninggal sebab Covid-19. Tiga minggu dalam ICU (unit rawatan rapi) sebab sesak nafas perlukan bantuan oksigen.

“So, (jadi) punca kena (dijangkiti) Covid adalah kerana kakak ipar dapat melalui kawan ‘office’ dia. Kakak ipar jumpa mak mentua saya cium tangan dan berborak (berbual) rapat-rapat. Bila kakak ipar pergi buat ‘swab test’ positif (Covid-19).

“Bawa mak mentua pergi ‘test’ terus positif. Boleh bertahan tiga minggu sahaja selepas itu meninggal dunia. Jadi hati-hati kawan-kawan semua ya,” katanya di dalam tangkap layar yang dikongsikan di media sosial.

Turut dikongsikan ialah penjelasan mengenai mengapa video itu dibuat, difahamkan untuk memberi ruang kepada ahli keluarga melihat pesakit.

Tangkap layar itu menyatakan doktor akan membuat panggilan video kepada ahli keluarga apabila tahap oksigen pesakit terlalu rendah, berikutan mereka tidak dibenarkan melawat pesakit di hospital.

Di dalam video itu, anak dan menantu wanita itu menangis sambil memanggil ibu mereka sebelum panggilan video ditamatkan.

Turut kedengaran, suara seorang wanita mengajar pesakit itu mengucap dua kalimah syahadah.

Difahamkan, kejadian berkenaan berlaku di Hospital Shah Alam dan wanita itu meninggal dunia tidak lama kemudian. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.