`


THERE IS NO GOD EXCEPT ALLAH
read:
MALAYSIA Tanah Tumpah Darahku

LOVE MALAYSIA!!!


Sunday, May 2, 2021

Piroteknik galas tugas beri isyarat waktu berbuka puasa, imsak

 

Shafuan Shafie membuat persiapan dengan memeriksa bola bunga api jenis Starshell sebelum dimasukkan ke dalam paip besi khas yang digunakan sebagai pelancar.

KUALA TERENGGANU: Bagi umat Islam yang menetap di daerah ini, bunyi bedilan bunga api sebagai penanda masuk waktu berbuka puasa dan imsak sudah tidak asing lagi setiap kali datangnya bulan Ramadan.

Namun rata-rata ramai yang masih ada belum tahu atau berkesempatan menyaksikan bagaimanakah proses letupan dikendalikan oleh individu berkemahiran dalam bidang kesan khas itu.

Shafuan Shafie, 35, adalah antara individu yang bertanggungjawab melaksanakan tradisi yang dikatakan bermula sejak 1881, iaitu ketika zaman pemerintahan Sultan Zainal Abidin III.

Menurut penyelia piroteknik Red Flame Special Effect Sdn Bhd itu, menjadi rutin hariannya bersedia seawal pukul 6.40 petang di Bukit Pak Apil sebelum waktu berbuka dan seawal pukul 4.30 pagi untuk melancarkan dua tembakan ketika waktu imsak.

Lapan paip besi bersaiz besar dipacak digunakan sebagai pelancar bunga api ke udara.

“Saya akan naik ke atas (ke puncak bukit) untuk persiapkan peralatan, kebiasaannya setengah jam sebelum waktu berbuka dan imsak masuk.

“Untuk tahun ini, letupan pertama dibuat lima minit sebelum masuk waktu imsak, manakala letupan kedua sebanyak dua kali akan didengari sebagai tanda masuknya waktu imsak,” katanya ketika ditemui FMT.

Katanya, tugas yang dipikul sepanjang Ramadan hingga enam hari pertama pada bulan Syawal itu akan ditemani oleh seorang anggota polis pengiring dari Bahagian Persenjataan dan Bahan Letupan Ibu Polis Kontinjen (IPK) Terengganu.

Shafuan, yang menjalankan amanah itu setiap kali Ramadan sejak 2007 berkata, bunyi letupan bedil itu difahamkan boleh didengari sejauh 30 kilometer dari lokasi tembakan, termasuk di Seberang Takir di Kuala Nerus dan Bukit Payung.

Apabila suis ditekan pada alat kawalan, satu percikan api terhasil dan kemudiannya menghasilkan bunga api pada ketinggian 200 meter diiringi bunyi yang kuat sebagai tanda masuk waktu berbuka dan imsak.

“Saya anggap ini satu tanggungjawab yang diberi oleh syarikat saya dan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Terengganu untuk agama sebab penduduk dekat sini kalau mereka tak dengar bunyi bedil ini, mereka tidak akan berbuka puasa (selain dengan laungan azan).

“Jadi setiap hari saya akan pastikan bedil ini berjaya diletupkan dengan selamat, termasuk bersedia dengan pelan lain jika proses letupan tidak berjaya,” katanya. - FMT

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.